BeritaJenayahSukan

Polis siasat pergaduhan antara penyokong bola sepak di stesen LRT.

Polis telah melancarkan siasatan berhubung pergaduhan antara dua kumpulan penyokong bola sepak yang berlaku di stesen LRT Bandar Tasik Selatan awal pagi ini.

Ketua Polis Cheras, Aidil Bolhassan, berkata polis menerima laporan petang ini daripada seorang anggota polis bantuan di stesen tersebut mengenai insiden itu, yang turut melibatkan perbuatan vandalisme.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata kes itu sedang disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 427 kerana melakukan khianat.

Satu klip video mengenai insiden tersebut juga telah tersebar luas di media sosial, dengan netizen mengecam kelakuan penyokong bola sepak tersebut, terutamanya kerana merosakkan harta awam.

Aidil berkata insiden itu berlaku selepas tengah malam apabila sekumpulan penyokong bola sepak bertembung dengan kumpulan penyokong lain ketika keluar dari tren.

Beliau berkata 20 hingga 30 orang mula bertindak agresif, memukul satu sama lain dan merosakkan tren dengan membaling tong sampah ke arah tren dan menendang pintunya.

“Ini memaksa tren untuk berhenti di stesen selama kira-kira lapan minit,” katanya.

Beliau berkata keadaan dapat dikawal apabila anggota polis bantuan dan pegawai lain yang bertugas campur tangan.

Dalam perkembangan berasingan, Prasarana Malaysia Bhd memaklumkan bahawa ia telah membuat laporan polis mengenai insiden tersebut serta kerosakan pada tren, dan sedang bekerjasama rapat dengan pihak polis untuk memastikan tindakan sewajarnya diambil terhadap mereka yang terlibat.

Prasarana berkata pasukan polis bantuan mereka telah mengeluarkan penyokong bola sepak tersebut dari stesen tren dan tiada kecederaan dilaporkan.

“Prasarana amat kesal dengan insiden ini dan tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang bentuk keganasan dan kelakuan agresif di stesen dan tren mereka,” katanya.

Artikel Berkaitan

Back to top button