Seorang lelaki berusia 28 tahun ditahan selepas didakwa memecah masuk sebuah bangunan di Bukit OUG, Kuala Lumpur, dengan memecahkan pintu kaca menggunakan bom petrol.
Dalam satu kenyataan, ketua polis Kuala Lumpur Rusdi Isa berkata polis menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada orang awam pada jam 4 pagi hari ini.
Awal pagi ini, The Star melaporkan bahawa penduduk Bukit OUG mendengar satu letupan pada jam 4 pagi di sebuah kompleks komersial di seberang jalan dari kondominium Bukit OUG.
“Polis menahan suspek sebaik tiba di lokasi kejadian,” kata Rusdi.
Beliau berkata lelaki itu, yang bekerja sebagai pemandu penghantaran, didapati memiliki lapan botol plastik berisi petrol. Setiap botol dilengkapi dengan mercun.
Selain itu, satu botol aluminium yang disyaki berisi mercun turut ditemui.
Rusdi berkata kes itu sedang disiasat atas kesalahan melakukan khianat dengan api atau bahan letupan di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan, dan membawa senjata berbahaya di tempat awam di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan serta Senjata Berbahaya 1958.
Rusdi menggesa orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut untuk menghubungi talian hotline polis Cheras di 03-9284 5050/5051, hotline polis Kuala Lumpur di 03-2115 9999, atau balai polis yang terdekat.