Polis tahan teman lelaki, ibu kandung disyaki dera anak sampai mati di Taiping
Maklumat kejadian itu diterima melalui panggilan Sistem Tindak Balas Kecemasan Malaysia (MERS) 999 sekitar jam 11 pagi.

KUALA LUMPUR 31 Julai – Seorang kanak-kanak lelaki ditemui mati dipercayai didera di sebuah rumah di Assam Kumbang, Taiping, Perak, semalam.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, maklumat kejadian itu diterima melalui panggilan Sistem Tindak Balas Kecemasan Malaysia (MERS) 999 sekitar jam 11 pagi.
Menurutnya, pegawai perubatan yang dikejarkan ke lokasi kejadian telah mengesahkan kematian kanak-kanak itu.
“Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak telah menjalankan siasatan di lokasi kejadian.
“Pemeriksaan awal mendapati terdapat beberapa kesan lebam di kaki, badan dan muka mangsa yang berkemungkinan akibat kesan didera,” katanya, hari ini.
Beliau berkata, mayat telah dibawa ke Hospital Taiping untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.
Katanya, berdasarkan maklumat diterima mangsa dipercayai tinggal di rumah berkenaan bersama ibu dan rakan ibunya.
Menurut Razlam, susulan penemuan pihak forensik itu, ibu mangsa yang berusia 36 tahun serta rakan lelakinya yang berusia 30-an, ditahan bagi membantu siasatan.
“Laporan forensik PDRM mendapati ada unsur penderaan kepada simati. Pihak polis percaya kes penderaan itu berlaku sejak Mac lalu.
“Ibu kanak-kanak itu mengalami masalah rumah tangga dan dalam proses perceraian dengan suaminya,” katanya dalam satu kenyataan media.
Razlam berkata, siasatan masih diteruskan dan pasangan itu ditahan reman di Mahkamah Taiping hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – Berita Harian