BeritaJenayah

Polis tahan tiga individu, rampas 669 senjata api tiruan.

Polis menahan tiga lelaki, termasuk seorang warga asing, dan merampas 669 senjata api tiruan dalam dua serbuan berasingan oleh pasukan khas risikan siasatan jenayah hidupan liar baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Azmi Abu Kassim, berkata pada 17 Disember, mereka menyerbu sebuah premis di Kota Bharu, Kelantan, dan menahan seorang lelaki serta merampas 32 senjata api tiruan.

“Siasatan awal mendapati suspek telah menjual senjata api tiruan secara dalam talian selama beberapa bulan, sementara pemeriksaan lanjut juga menemui dua ekor burung murai batu yang disimpan tanpa permit.

“Turut dirampas beberapa kotak mengandungi ubat-ubatan yang tidak mempunyai kelulusan daripada kementerian kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes tersebut sedang disiasat di bawah Akta Senjata 1960, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716), serta Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Azmi turut memaklumkan bahawa dalam serbuan kedua di Jalan Raja Laut, di sini, pada 18 Disember, polis menahan dua lelaki, termasuk seorang warga asing, dan merampas 637 senjata api tiruan, dengan kes tersebut disiasat di bawah Akta Senjata 1960.

“Barang rampasan itu dianggarkan bernilai RM436,971,” tambahnya.

Artikel Berkaitan

Back to top button