Positif lawan kanser, Chef Wan selesai jalani 4 sesi kemoterapi
Chef Wan berkongsi pengalaman ketika cecair tulang belakangnya diambil sebelum menerima suntikan kemo untuk merawat kanser
KUALA LUMPUR 12 Okt – Cef selebriti popular, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan, 65, yang disahkan menghidap kanser limfoma pada awal Ogos lalu berkongsi keadaan terkininya selepas selesai menjalani rawatan kemoterapi terakhir bersama doktor yang merawatnya, Dr Jay.
Menerusi hantaran di Instagram (IG), Cef Wan memuatnaik foto bersama Dr Jay ketika sedang menjalani rawatan kemoterapi dengan kapsyen yang menjelaskan dirinya dalam keadaan baik dan berharap mampu pulih sepenuhnya.
“Selepas menjalani rawatan kemoterapi terakhir, saya berharap boleh sembuh sepenuhnya. Bagaimanapun, saya tetap perlu memeriksa tahap kesihatan termasuk menjalani rawatan dari semasa ke semasa.
“Saya masih perlu menjalani imbasan Tomografi Pancaran Positron (PET). Dr Jay juga akan memantau tahap kesihatan dengan sangat teliti. Dia juga menasihati saya supaya mengamalkan gaya hidup sihat,” tulisnya.
Pada masa sama, Cef Wan berkongsi pengalaman ketika cecair tulang belakangnya diambil sebelum menerima suntikan kemo untuk merawat kanser.
Katanya, dia terpaksa baring selama empat jam atas katil untuk memastikan ubat kanser yang disuntik ke dalam tulang belakangnya mengalir ke seluruh badan.
“Dr Jay ambil cecair tulang belakang saya untuk dihantar ke makmal dan menjalani setiap kitaran rawatan kemoterapi bagi memastikan tiada sel-sel kanser yang merebak ke otak dan merosakkannya.
“Prosedur ini agak menyakitkan apabila kemo disuntik ke dalam tulang belakang. Saya perlu baring atas katil selama empat jam untuk membolehkan cecair ini mengalir naik ke otak dan bertindak seperti ‘dinding pertahanan,” tulisnya.
Kongsi Cef Wan, Dr Jay turut memuji sikap positif yang ada dalam dirinya ketika melawan kanser dengan mengatakan dia sudah memenangi separuh daripada pertempuran itu.
“Dr Jay menyifatkan saya ada pemikiran dan sikap positif, sentiasa ceria dan gembira sehingga diri sendiri boleh berhadapan dengan kanser ini dengan baik.
“Beliau maklumkan separuh pertempuran sudah menang. Kebanyakan pesakit yang beliau temui sebelum ini berbeza dengan saya,” tulisnya.
Pada 3 Ogos lalu, Cef Wan membuat perkongsian di IG mengenai keadaan kesihatannya yang disahkan menghidap kanser limfoma selepas dua kali melakukan ujian electrocardiogram (ECG).
Dalam hantaran itu, Cef Wan turut memaklumkan dirinya perlu menjalani rawatan kemoterapi sebanyak 4 kitaran untuk jangka masa beberapa minggu. – Xklusif