BN-PH potong premium tanah 70 peratus di Kelantan
Beliau mahu perkara itu dilaksanakan bagi memberi kemudahan dan untuk membantu rakyat Kelantan.

KUALA LUMPUR 8 Ogos – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan potongan premium tanah sehingga 70 peratus sekiranya gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan, 12 Ogos ini.
Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau mahu perkara itu dilaksanakan bagi memberi kemudahan dan untuk membantu rakyat Kelantan.
“Saya beritahu wakil rakyat yang mewakili BN dan PH, cukai ini bukan saja turun sebanyak 50 peratus tetapi diskaun turunlah kepada 70 peratus.
“Jika sekarang pembinaan rumah baharu di Kelantan, mereka dikenakan bayaran RM9,000 bagi satu lot. Insya-Allah potongan 50 peratus akan diberi jika Kerajaan Perpaduan mendapat mandat di Kelantan.

“Begitu juga cukai pintu, cukai tanah yang akan diturunkan 50 peratus. Kalau boleh potongan diberikan sebanyak 70 peratus untuk buat rumah, cukai pintu dan cukai tanah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Jelajah Perpaduan MADANI di Jalan Kebun Sultan, Kelantan, malam tadi.
Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata, bayaran premium tanah dilaporkan tinggi di Kelantan.
“Potongan ini akan memberi faedah untuk rakyat Kelantan membuat rumah dan memiliki tanah.
“Biar kita tidak dapat pendapatan dari cukai tanah ini tetapi bila pelaburan banyak masuk di Kelantan, kita akan dapat cukai daripada industri,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, 34 tawaran dikemukakan BN-PH di bawah empat teras sebagai manifesto kepada rakyat Kelantan pada PRN ini.
Empat teras berkenaan membabitkan aspek syiar Islam, ekonomi, pendidikan, wanita dan orang muda serta Perbadanan Kemajuan Kelantan Utara. — Berita Harian