Berita

PPRPM kecewa dengan GrabFood, mahu bayaran upah asal dikembalikan

Kadar upah penunggang GrabFood kepada mereka diturunkan lagi daripada RM4.30 ke RM3.50.

KUALA LUMPUR 18 Jan. – Persatuan Perpaduan Rakan Penghantar Malaysia (PPRPM) menggesa syarikat penyedia perkhidmatan p-hailing, GrabFood Malaysia (GrabFood) supaya mengembalikan semula kadar bayaran upah penunggang kepada bayaran asal secara serta-merta.

PPRPM berkata, ia kerana kadar bayaran upah yang diberikan ketika ini sangat rendah selain pengiraannya juga tidak jelas.

“PPRPM kecewa dengan GrabFood berikutan keputusan mereka memperkenalkan kadar bayaran upah baharu kepada penunggang kerana kadar bayaran upah ini menurun secara drastik.

“Isu penurunan kadar bayaran upah adalah antara isu utama yang telah kami suarakan dalam pertemuan dan perbincangan kami bersama pihak kerajaan, kementerian-kementerian dan juga agensi-agensi berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Penunggang GrabFood sebelum ini dilaporkan mendakwa kadar upah penghantaran kepada mereka diturunkan lagi daripada RM4.30 ke RM3.50.

PPRPM menjelaskan, penurunan kadar bayaran upah itu adalah isu berulang dan menjadi dilema buat penunggang p-hailing.

Malahan, katanya, isu bayaran upah itu juga pernah disuarakan terus oleh penunggang p-hailing kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pertemuan antara beliau bersama penunggang p-hailing iaitu Temu Anwar di Petaling Jaya, Selangor pada Julai lalu.

“Rentetan daripada keluhan yang disampaikan penunggang p-hailing kepada Perdana Menteri, satu pertemuan dan perbincangan bersama-sama semua Syarikat Penyelia P-Hailing (PHO) di Malaysia bersama Anwar, Menteri Pengangkutan, Menteri Sumber Manusia dan Menteri Komunikasi dan Multimedia telah diadakan di Pejabat Perdana Menteri (PMO).

“PPRPM bersama-sama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) p-hailing yang lain turut hadir menjadi saksi di dalam perbincangan tersebut. Dalam perbincangan itu semua syarikat penyelia termasuk Grabfood yang turut serta di dalam perbincangan tersebut telah bersetuju untuk mengkaji semula kadar penerimaan upah yang diterima penunggang mereka,” tambahnya.

Namun, PPRPM berkata, apa yang amat mengecewakan pihaknya adalah isu penurunan kadar bayaran upah itu masih berlaku kepada penunggang p-hailing.

“Penurunan kadar bayaran upah yang dilakukan oleh syarikat penyelia GrabFood adalah keputusan yang dibuat secara tergesa-gesa tanpa berbincang dan merujuk bersama penunggang dan sangat tidak menghormati perbincangan bersama Perdana Menteri.

“Kami juga meminta agar pihak kerajaan mengambil tindakan dan campur tangan dalam isu berkaitan p-hailing,” gesanya.

PPRPM menegaskan, selagi tiada akta khusus diwujudkan pihak kerajaan berkaitan ekonomi gig p-hailing, isu berkaitan dengannya akan terus berlarutan dan hanya pihak kerajaan boleh merangka dan mengeluarkan polisi atau garis panduan meliputi keseluruhan ekosistem ekonomi Gig p-hailing.

Oleh itu, PPRPM turut menggesa agar pihak kerajaan menyegerakan penubuhan Badan Kawal Selia Ekonomi Gig demi menjaga kebajikan penggiat ekonomi gig terutamanya penggiat p-hailing.

“PPRPM juga menggesa agar pihak kerajaan mengambil langkah jangka pendek mengenai isu terkini yang sedang dihadapi oleh penunggang p-hailing terutamanya berkaitan isu kadar bayaran upah,” ujarnya. — Sinar Harian

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button