Berita

PRK DUN Nenggiri ditetapkan 17 Ogos

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Kelantan pada 17 Ogos ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, tarikh penamaan calon ditetapkan pada 3 Ogos, manakala undi awal 13 Ogos.

“Sejumlah 20,259 pemilih terlibat dengan peruntukan kos kira-kira sebanyak RM1.6 juta,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas PRK berkenaan di sini hari ini.

Sebelum ini, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan bermula 19 Jun lalu.

Keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan pada 13 Jun lalu menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu mengenai keahlian ADUN Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim yang hilang daripada parti itu.

Beliau adalah antara enam Ahli Parlimen dan seorang ADUN Bersatu yang digugurkan keahliannya serta-merta selepas mereka gagal memberi sebarang jawapan berkaitan surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.

Mereka ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi (Gua Musang) yang juga ADUN Nenggiri, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Seorang lagi ialah ADUN Selat Klang Datuk Abdul Rashid Asari.

Ini adalah PRK ke-12 selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) iaitu PRK Bugaya (Sabah), Tioman (Perak), Padang Serai (Kedah), Kuala Terengganu(Terengganu), DUN Simpang Jeram dan Pulai (Johor), Pelangai (Pahang), Jepak (Sarawak), Kemaman (Terengganu), Kuala Kubu Baharu (Selangor) dan Sungai Bakap (Pulau Pinang).

Artikel berkaitan > PRK DUN Sungai Bakap: Aduan rasuah, salah guna kuasa boleh dibuat di bilik gerakan SPRM

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button