Politik

PRK Johor: Pengundi UMNO jangan sia-siakan undi – Khaled

Pengundi UMNO dinasihatkan memilih wakil rakyat yang betul-betul berkesan boleh berkhidmat kepada rakyat

MUAR 1 September – UMNO berharap pengundi tegar parti itu tidak mensia-siakan undi mereka dengan “tersalah pilih” pada PRK Simpang Jeram dan Pulai pada 9 September ini.

Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin berkata walaupun keputusan PRK itu tidak akan mengubah kerajaan pusat mahupun negeri, namun wakil rakyat dipilih perlulah selari dua kerajaan itu bagi membolehkan momentum pembangunan diteruskan.

“Pengundi tidak sewajarnya mensia-siakan undinya dengan pilih wakil rakyat tak berkesan, empat tahun duduk relaks…tak payah balik, tak payah tengok pengundi, tak payah selesai masalah.

“Tetapi, kalau kita pilih wakil rakyat ada hubungan dengan kerajaan, tiada alasan dia tidak membantu rakyat. Kita nak pilih wakil rakyat yang betul-betul berkesan boleh berkhidmat kepada rakyat,” kata ketua UMNO Johor itu.

Beliau yakin pengundi Barisan Nasional di Simpang Jeram dan Pulai memahami kepentingan menjayakan konsep perpaduan diterapkan kerajaan perpaduan demi kemakmuran negara berbilang kaum dan agama.

“Kita perlu ambil manfaat daripada kepelbagaian itu untuk membawa lebih kemajuan untuk negara,” katanya selepas “walkabout” di sekitar Taman Jeram Mulia, dekat sini.

PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan berikutan kematian penyandang dua kerusi itu, Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas. – FMT

Artikel Berkaitan

Back to top button