PRK Kemaman: Jika BN menang, pelbagai bantuan dapat disalurkan
Ahli MKT UMNO mengingatkan pengundi untuk menjadikan Kemaman sebagai jambatan antara Terengganu dan kerajaan pusat.

KUALA LUMPUR 17 Nov. – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, mengingatkan pengundi Parlimen Kemaman agar menjadikan kawasan itu sebagai jambatan penghubung di antara Terengganu dengan Kerajaan Perpaduan susulan tiada lagi kerusi Kerajaan Pusat di negeri itu.
Ini kerana katanya, sekiranya Parlimen Kemaman berada dalam Kerajaan Pusat, pelbagai bantuan dan kebaikan dapat disalurkan kepada rakyat kawasan berkenaan.
“Mengapa bekas Panglima Angkatan Tentera lebih baik daripada Menteri Besar (MB)? Kerana jika Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi menang, Kemaman akan berada dalam Kerajaan Pusat, yang boleh membantu dan memberi lebih kebaikan.
“Jika MB menang, Kemaman tetap berada sebagai pembangkang. Rakyat ingin berada dalam kerajaan atau berada sebagai pembangkang? Itulah dua pilihan yang ada bagi pengundi Kemaman,” katanya menerusi kenyataan kepada UMNO Online, hari ini.
Ahmad berkata, tindakan empat Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) berubah memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah kerana mereka mahukan bantuan Kerajaan Pusat kepada rakyat di kawasan mereka.
“Mengapa empat Ahli Parlimen PN berubah memberi sokongan kepada Perdana Menteri? Kerana mereka inginkan bantuan Kerajaan Pusat kepada rakyat kawasan mereka. Tidak cukup bantuan Kerajaan PAS Kelantan kepada Ahli Parlimen Jeli dan Ahli Parlimen Gua Musang serta dua ahli parlimen yang lain.
“Elok juga diingat perlu jadikan kawasan Kemaman ini sebagai jambatan penghubung negeri Terengganu dengan Kerajaan Perpaduan kerana tiada lagi kerusi Kerajaan Pusat dari Terengganu. Inilah satu-satunya peluang terdekat yang ada.
“Jangan ‘dibakar’ satu-satunya jambatan perhubungan ini. Beri satu peluang kepada kami untuk memberi perkhidmatan,” katanya lagi.
Sebelum ini, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, diumumkan sebagai calon Pas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman.
Pada Isnin lalu, BN mengumumkan Raja Mohamed Affandi sebagai calon dalam PRK itu. Pengumumannya dibuat Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Pada September lalu, Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid, yang mewakili PN pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu.
Hakim Mahkamah Pilihan Raya, Datuk Anselm Charles Fernandis, membenarkan petisyen pilihan raya yang difailkan oleh pempestiyen, Wan Mohamad Hisham Wan Abdul.
Keputusan itu dibuat Charles Fernandis yang juga merupakan Hakim Mahkamah Tinggi, selepas mendapati pempetisyen berjaya membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen PRU ke-15.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Parlimen Kemaman, Terengganu, pada 2 Disember depan.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh, berkata hari penamaan calon pula ditetapkan pada 18 November, manakala hari pengundian awal 28 November. — BH