Politik

PRK Kemaman: Kerajaan boleh jimat RM3.5 juta kalau BN tarik diri – Razali

Langkah BN tidak meletakkan calon mampu menjimatkan RM3.5 juta wang kerajaan yang boleh digunakan untuk membantu rakyat

KUALA TERENGGANU 21 Okt – Barisan Nasional (BN) disaran menarik diri daripada bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman jika berhasrat membantu menjimatkan perbelanjaan kerajaan dan tidak mahu pisang berbuah dua kali.

Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris, berkata langkah BN tidak meletakkan calon mampu menjimatkan RM3.5 juta wang kerajaan yang boleh digunakan untuk membantu rakyat.

Katanya, BN masih berpeluang menarik diri dan memberi kemenangan percuma kepada penyandang kerusi Parlimen Kemaman yang dimenangi PAS pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Selain menjimatkan wang rakyat, kerajaan dan pelbagai agensi boleh memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi banjir yang biasanya berlaku pada November dan Disember di negeri ini.

“Pemimpin BN disaran menggunakan pendekatan berpendidikan, jangan terlalu mengikut nafsu, sebaliknya perlu mengutamakan masalah rakyat terutama pengundi di Parlimen Kemaman yang bakal berdepan musim banjir,” katanya kepada media, di sini, hari ini.

Terdahulu, Razali yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU mempengerusikan mesyuarat khas di Ibu Pejabat parti di sini, hari ini.

Yang turut hadir ahli Parlimen Hulu Terengganu merangkap Timbalan Ketua Badan Pimpinan BERSATU negeri, Datuk Rosol Wahid.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Parlimen Kemaman, Terengganu pada 2 Disember ini manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 18 November dan 28 November.

PRK Parlimen Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon PAS Che Alias Hamid pada PRU15.

Mengulas potensi BN dalam PRK Parlimen Kemaman, Razali yang juga Ketua Badan Pimpinan BERSATU negeri, berkata pimpinan BN perlu jadikan PRK Parlimen Kuala Terengganu sebagai iktibar, apabila calon PN, Datuk Ahmad Amzad Hashim memenangi kerusi dengan majoriti 47,266 undi, berbanding hanya 40,907 undi pada PRU15.

Katanya, BERSATU meramalkan BN bakal mengalami nasib sama apabila bakal tewas dengan majoriti lebih besar di Kemaman.

“Jentera BERSATU sudah bersiap siaga menghadapi PRK Parlimen Kemaman apabila lapan bahagian sudah dilantik sebagai keluarga angkat bagi membantu PAS mempertahankan kerusi,” katanya. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

Back to top button