PRK Kemaman: SPR dijangka umum tarikh penting hari ini
Satu mesyuarat khas akan diadakan bagi tujuan itu dipengerusikan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh, pagi ini
KUALA LUMPUR 17 Okt – Tarikh-tarikh penting bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, Terengganu dijangka diketahui hari ini.
Satu mesyuarat khas akan diadakan bagi tujuan itu dipengerusikan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Ghani Salleh di Menara SPR, Putrajaya bermula 10 pagi ini.
Abdul Ghani turut dijadual mengadakan sidang media sejurus selepas mesyuarat khas itu bagi mengumumkan tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya berkenaan.
Pada 26 September lalu, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias Hamid yang mewakili PAS setelah pihak pempetisyen iaitu Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil (pengundi) berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Rentetan itu, pada 3 Oktober lalu PAS memutuskan untuk tidak memfailkan sebarang rayuan terhadap keputusan petisyen berkenaan. – Xklusif