Politik

PRK Mahkota: 3,000 penyokong iringi calon BN Syed Hussein

Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota berjalan lancar meskipun hujan lebat melanda kawasan sekitar sejak awal pagi tadi.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah merupakan calon BN mewakili Kerajaan Perpaduan diarak kira-kira 3,000 penyokong yang berhimpun di persekitaran Bangunan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di sini sejak jam 7 pagi.

Penamaan calon diadakan di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, Kluang, Johor, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR).

Antara yang hadir Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan, Naib Presiden KEADILAN Datuk Seri Amirudin Shari, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dan pemimpin utama lain.

Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak dalam kenyataan berkata bakal calon yang bertanding pada PRK itu perlu menyerahkan kertas penamaan calon dari 9 pagi hingga 10 pagi kepada Pegawai Pengurus di Pusat Penamaan Calon berkenaan.

“Bakal calon juga dinasihatkan untuk membuat pembayaran deposit lebih awal dan resit pembayaran hendaklah dibawa pada hari penamaan calon sebagai bukti pembayaran,” katanya.

Ikmalrudin berkata bakal calon hendaklah mengemukakan surat kebenaran penggunaan simbol parti yang diwakili apabila membuat penyerahan Kertas Penamaan Calon.

Beliau berkata penggunaan semua jenis alat muzik atau pembesar suara bagi tujuan diayah politik melalui kenderaan serta larangan menunggu atau berada dalam jarak 50 meter dari sempadan yang ditetapkan adalah tidak dibenarkan pada hari penamaan calon dan merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 [Akta 5].

Setiausaha SPR itu mengingatkan calon yang telah membayar deposit bahan kempen pilihan raya sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta 5, juga tertakluk pada undang-undang kecil mana-mana pihak berkuasa tempatan (PBT).

“SPR menyeru kepada bakal-bakal calon dan parti-parti politik yang terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan-arahan yang dikeluarkan oleh SPR, PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan PBT bagi memastikan proses penamaan calon yang dilaksanakan dapat berjalan dengan baik dan lancar,” katanya.

SPR menetapkan hari pengundian bagi pilihan raya itu pada 28 Sept manakala pengundian awal pada 24 Sept ini.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, daripada Barisan Nasional (BN) pada 2 Ogos lepas ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di Kluang.

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button