Politik

PRK Mahkota: ‘Jangan malukan saya’, Zahid nasihat Syed Hussien jaga masyarakat India

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menasihatkan calon komponen itu, Syed Hussien Syed Abdullah berkhidmat dengan baik untuk semua masyarakat termasuk komuniti India jika menang PRK Mahkota pada 28 September ini.

Menurut Zahid, pengundi India di kawasan DUN itu sejak dahulu menyokong BN sehingga DUN terbabit menjadi satu daripada kubu kuatnya di Johor.

“Dari segi kesetiaan jangan dipertikai kerana sekali mereka mengundi pastinya kekal taat, tetapi jangan pernah khianati mereka…mereka akan ingat dan tak akan undi lagi.

“Syed Hussein ingatlah tangan ini menandatangani watikah atas persetujuan MB (Onn Hafiz Ghazi), jangan malukan saya dan mesti beri perkhidmatan dengan baik (kepada masyarakat India di DUN Mahkota),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis ramah mesra bersama komuniti India DUN Mahkota. Turut hadir Onn Hafiz dan Presiden MIC SA Vigneswiniaran.

DUN Mahkota mempunyai 66,318 pemilih dengan pecahan Melayu (56%), Cina (34%), India (8%), dan lain-lain (2%).

PRK itu menyaksikan Syed Hussien berdepan saingan dua penjuru menentang calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar.

Pilihan raya itu diadakan susulan kematian Sharifah Azizah Syed Zain pada 2 Ogos lalu akibat pendarahan dalaman.

Pada PRN 2022, Sharifah Azizah dari BN menang dengan majoriti 5,166 undi menewaskan calon Pakatan Harapan, Muhammad Taqiuddin Cheman, Mohamad Nor Lingan (Perikatan Nasional) dan Mohamed Noor Suleiman (Warisan).

Sementara itu, Syed Hussien berkata, beliau menyahut seruan Zahid itu supaya berkhidmat dengan baik jika dipilih sebagai wakil rakyat pada 28 Sept depan.

“Kita tidak akan meninggalkan sesiapa pun sekiranya diberi mandat,” katanya.

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button