Politik

PRK Mahkota: Kempen sederhana, tidak ekstrem faktor kejayaan calon Perpaduan – DAP Johor

Naratif kempen yang bersifat sederhana dan tidak ekstrem serta boleh diterima pengundi antara faktor kemenangan besar calon Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, semalam.

Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali, berkata ia terbukti dengan majoriti besar melepasi 20,000 yang diraih calon Perpaduan dari Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah.

Beliau berkata, kemenangan Mahkota menjadi ‘tanda’ untuk memastikan kestabilan negara seterusnya mengukuhkan Malaysia di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan selepas ini.

“Meskipun jentera BN dan Pakatan Harapan (PH) berdepan dengan kepayahan untuk meyakinkan pengundi supaya tidak termakan dengan serangan kempen bersifat ekstrem yang memainkan isu agama dan perkauman sempit, namun kami tidak putus asa.

“Pengundi boleh menerima naratif kestabilan dan pembangunan ekonomi yang sedang giat diusahakan Kerajaan Perpaduan peringkat Pusat dan juga agenda pembangunan oleh kerajaan Johor.

“Bagi saya, apa yang lebih penting Mahkota akan menjadi testimoni ramuan kempen dan pendekatan politik moderat untuk siri-siri pilihan raya akan datang. Dengan menganggap demografi pengundi Mahkota yang saya umpamakan sebagai ‘mini Malaysia’, formula kemenangan di sini perlu diketengahkan dan dijadikan model, bagi memastikan kelangsungan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

PRK DUN Mahkota menyaksikan BN mempertahankan kerusi itu apabila Syed Hussien menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar, dengan majoriti 20,648 undi.

Dalam pada itu, Sheikh Umar yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP berkata, PRK DUN Mahkota membuktikan kerjasama jentera PH dan BN, berjalan dalam keadaan teratur dan berkesan.

“Di peringkat DAP, kami memobilisasi tahap maksimum untuk memastikan setiap pengundi tidak tertinggal mesej untuk mengundi calon Perpaduan dari BN.

“Jentera DAP khususnya mendapat arahan yang jelas daripada Setiausaha Agung, Anthony Loke, mengenai tugasan kempen dan jentera berkerja tanpa henti.

“Dari tinjauan mesra bertemu seorang demi seorang pengundi, mengedarkan risalah, ceramah kedai kopi sehinggalah ke ceramah paling besar pada malam ‘grand finale’ kami berhempas pulas lakukan semuanya, dan akhirnya ia menunjukkan kejayaan besar,” katanya. – Berita Harian.

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button