Uncategorized

PRK: Saingan tiga penjuru di DUN Simpang Jeram

PRK ini diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalui akibat pendarahan otak

MUAR 26 Ogos – Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram menyaksikan pertembungan tiga penjuru termasuk seorang calon Bebas.

Kerusi itu bakal memperlihatkan saingan antara calon Pakatan Harapan (PH) iaitu Timbalan Ketua Amanah kawasan Bakri, Nazri Abdul Rahman yang merupakan seorang jurutera dan calon Perikatan Nasional (PN), Dr Mohd Mazri Yahya yang juga pakar perunding vaskular dan pakar bedah endovaskular.

Manakala calon Bebas ialah S. Jeganathan, 55 tahun yang memasuki kali ketiga mempertaruhkan nasib di kerusi DUN iaitu dua siri pilihan raya sebelum ini di DUN Bukit Naning dan kali ini di DUN Simpang Jeram.Pengumuman itu dibuat Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Simpang Jeram, Jamil Hasni Abdullah selepas semakan proses penamaan calon selesai dilakukan.

“Saya ingin memaklumkan menerima kertas penamaan daripada tiga orang calon bagi DUN Simpang Jeram.

“Saya telah menyemak kertas penamaan dan setelah disemak, saya berpuas hati memutuskan tiada yang ditolak kertas penamaan,” katanya selepas selesai proses penamaan calon DUN Simpang Jeram di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini, hari ini.

PRK ini diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalui akibat pendarahan otak.

Allahyarham memenangi kerusi DUN Simpang Jeram sejak 2018 sebelum berjaya mempertahankannya sekali lagi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Mac tahun lalu.

DUN Simpang Jeram mempunyai 40,379 orang pemilih dengan 40,373 daripadanya adalah pengundi biasa manakala enam lagi pengundi tidak hadir luar negara.

Dalam PRN Johor lalu, Amanah yang diwakili oleh Salahuddin memperolehi 8,749 undi iaitu menang dengan majoriti 2,389 undi selepas menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Zarul Salleh apabila hanya mendapat 6,360 undi manakala calon BN, Datuk Lokman Md. Don memperolehi 6,062 undi.

Salahuddin memenangi kerusi DUN Simpang Jeram buat pertama kali ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu. – Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button