Berita

PRK Sungai Bakap: Persiapan hari pengundian berjalan lancar – SPR

Persiapan hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pada hari ini berjalan lancar.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak ketika meninjau persiapan di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi iaitu di Dewan Serbaguna Jawi, Taman Desa Jawi di sini berkata semua ketua tempat mengundi serta petugas keselamatan telah diberikan taklimat berkaitan bagi memastikan kelancaran proses hari pengundian.

“Setiap semakan yang dilakukan hari ini adalah bagi memastikan kesemua kelengkapan mengundi mencukupi termasuk peralatan seperti peti undi, dakwat, kertas undi dan juga peralatan melibatkan persiapan logistik,” katanya kepada Bernama semalam.

Beliau berkata kesemua sembilan pusat mengundi dengan 65 saluran akan dibuka dari 8 pagi hingga 6 petang esok dengan jumlah pengundi berdaftar seramai 39,151 orang.

Ikmalrudin berkata setakat ini, SPR tiada menerima sebarang petisyen berkaitan kesalahan sepanjang PRK DUN Sungai Bakap daripada pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Cuma kesalahan-kesalahan biasa, kecil melibatkan seperti poster diletakkan di tempat tidak sepatutnya sahaja tapi tidak timbul isu yang besar.

“Saya ucapkan terima kasih kepada pengundi, penyokong parti yang mematuhi peraturan perjalanan pilihan raya kali ini,” katanya sambil menambah seramai 552 petugas terlibat pada PRK itu.

Ikmalrudin turut menasihati pengundi untuk keluar menunaikan tanggungjawab mengikut masa ditetapkan bagi mengelakkan kesesakan dan cadangan masa mengundi boleh disemak di laman sesawang mySPRsemak.

PRK itu menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail, susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut. – BERNAMA

Artikel Berkaitan

Back to top button