Berita

PRK Sungai Bakap: Pusat mengundi dibuka tepat jam 8 pagi

Semua pusat pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap dibuka secara rasmi jam 8 pagi tadi.

Tinjauan mendapati para pengundi mula berada di beberapa pusat pengundian sejak jam 7.30 pagi bagi menunaikan tanggungjawab masing-masing setelah kempen berakhir jam 11.59 malam tadi.

Cuaca cerah dijangka akan memudahkan pengundi keluar awal namun dikhuatiri akan hujan menjelang awal petang.

Para pengundi dinasihatkan agar keluar awal bagi mengelakkan pengundian saat-saat akhir terutamanya apabila pusat mengundi ditutup jam 6 petang ini.

Dalam pada itu tiada lokasi dikategorikan sebagai ‘hotspot’ atau kawasan panas pada hari pengundian PRK hari ini.

Bagaimanapun Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, tiga pusat pengundian dijangka mengalami kesesakan berikutan jumlah pengundi yang ramai iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tasek Mutiara, Sekolah Kebangsaan Sungai Duri dan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Boon Seng.

Sehubungan itu beliau berkata, polis telah mengatur tugas pegawai serta anggotanya bagi melancarkan proses pengundian serta kawalan lalu lintas.

Artikel Berkaitan

Back to top button