PRN 2023 milik siapa, ini 6 DUN ‘panas’ bakal curi tumpuan esok
Kempen PRN di enam negeri bakal melabuhkan tirai pada 12 tengah malam ini

KURANG 24 jam lagi sebelum rakyat di enam negeri pilihan raya negeri (PRN) bakal memilih calon yang dirasakan layak daripada parti bertanding bagi 245 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Sudah tentu pertembungan dua kuasa yang tidak kurang hebatnya iaitu gabungan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) dengan Perikatan Nasional (PN) menjadi teka teki siapakah yang bakal menjadi pilihan rakyat.
Beberapa kerusi DUN ‘panas’ dijangka menjadi tumpuan esok yang meletakkan calon ‘heavyweight’ yang mempunyai reputasi tersendiri selain berdepan dengan pelbagai kontroversi sepanjang tempoh 14 hari berkempen yang bakal berakhir tepat jam 12 tengah malam ini.
Berikut 6 DUN panas yang bakal mendapat tumpuan dalam PRN 2023:
- DUN Hulu Kelang, Selangor (Azmin vs Juwairiya)

Tumpuan paling utama sudah pastinya terarah di kerusi DUN Hulu Kelang yang bakal menyaksikan bekas Menteri Besar Selangor dan Menteri Kanan (Ekonomi), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali daripada PN yang berdepan cabaran sengit bekas anak muridnya sendiri, Juwairiya Zukifli daripada PKR.
Ini kerana Mohamed Azmin pastinya enggan mengulangi kekalahannya kepada Datuk Seri Amirudin Shari yang juga anak didiknya di Parlimen Gombak pada PRU15 lalu pada PRN Selangor kali ini.
Malah, tekanan berganda buat Mohamed Azmin kerana keputusan di DUN Hulu Kelang akan menjadi penentu sama ada fenomena gelombang hijau benar-benar meresapi rakyat Selangor atau sebaliknya.
- DUN Jeneri, Kedah (Sanusi vs Khizri)

Di DUN Jeneri, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang juga Ketua Pengarah Pilihan PN bakal berhadapan saingan calon BN, Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim buat pertama kali.
Muhammad Khizri yang juga Ketua UMNO Bahagian Sik sudah tentu berdepan dengan tekanan apabila berdepan Menteri Besar Kedah biarpun mempunyai peluang untuk memenangi kerusi berkenaan berikutan ia pernah dipegang calon BN sebelum ini.
Sokongan padu terhadap Sanusi juga tidak boleh dipandang enteng apabila menjadi perhatian media hampir setiap hari dari sebelum tempoh kempen PRN dengan pelbagai isu dan kontroversi, malah sempat dihadapkan ke mahkamah awal bulan ini atas tuduhan menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam ceramahnya sebelum ini.
- DUN Kijal, Terengganu (Ahmad vs Razali)

Pertembungan BN dan PAS yang diwakili Ahmad dan Razali dijangka sengit apabila masing-masing boleh dianggap tokoh politik bertaraf nasional dan mempunyai kekuatan penyokong tersendiri.
Ini kerana di atas kertas, peluang Ahmad untuk mempertahankan kerusi DUN disandang sejak tahun 1990 itu agak sukar, susulan beliau turut tewas kepada calon PAS, Che Alias Hamid dalam pertembungan empat penjuru di Parlimen Kemaman pada PRU15 dengan majoriti besar 27,179 undi.
Bagaimanapun, segala kemungkinan boleh berlaku dan sekiranya Razali tidak menerima sokongan pengundi tegar PAS sebagaimana sepatutnya, Ahmad mungkin boleh mencipta kejutan.
- DUN Sikamat, Negeri Sembilan

DUN Sikamat yang disandang Menteri Besar Negeri Sembilan dan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Aminuddin Harun sejak empat penggal lalu turut tidak terkecuali dilabel sebagai kerusi ‘panas’ di negeri itu.
Ia kerana desas-desus sebelum ini mengatakan beliau mungkin tidak disenaraikan kembali sebagai calon menteri besar sekiranya gabungan PH-BN kekal menguasai Negeri Sembilan, meskipun Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim kemudian mengumumkan Aminuddin sebagai calon ‘poster boy’.
Beliau yang merupakan wakil rakyat kawasan berkenaan sejak 2008 dicabar oleh Ahmad Raihan Muhamad Hilal dari PN serta dua calon Bebas iaitu Bujang Abu dan Mohammed Hafiz Baharudin.
DUN Sikamat merupakan salah satu daripada dua kerusi DUN di negeri ini yang menyaksikan pertembungan empat penjuru selain DUN Nilai.
- DUN Bertam, Pulau Pinang (Reezal Merican vs Khaliq Mehtab)

DUN Bertam juga antara yang menjadi perhatian apabila gabungan PH- BN mempertaruhkan bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang kalah pada PRU-15 untuk mencabar penyandang Khaliq Mehtab dari Bersatu yang sudah dikenali penduduk.
Pada PRU14, Khaliq Mehtab daripada PH ketika itu menang dengan undi majoriti 219 selepas memperoleh 6,485 undi, menewaskan Shariful Azhar Othman (BN) yang mendapat 6,268 undi dan Mokhtar Ramli (Pas) dengan 2,986 undi.
Ia juga menjadi tekanan buat Reezal apabila Parlimen Kepala Batas adalah kubu kuat UMNO dan BN, namun setelah kekalahan beliau pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu, kerusi ini menjadi peluang untuk BN dan Reezal menebus kekalahan itu di DUN Bertam pula.
- DUN Pasir Pekan, Kelantan (Ahmad vs Mohamad Zamakh)

Tekanan mungkin dirasai Calon PAS bagi Kerusi DUN Pasir Pekan yang, Datuk Ahmad Yakob yang juga Menteri Besar Kelantan apabila PRN kali ini menjadi pertaruhan terakhirnya untuk mempertahankan kerusi yang sudah dipegangnya selama tujuh penggal.
Beliau merasakan pembabitan dalam politik seperti kitaran yang mana perlu berkorban sekiranya sudah mencapai tahap keupayaan yang semakin perlahan dan akan memberi laluan kepada generasi muda pada masa akan datang.
Ahmad akan bertembung dengan calon Pakatan Harapan (PH), Mohamad Zamakh Sari Ibrahim dari PKR. – Xklusif