PRN: Ada perangkap musuh, Sanusi dinasihatkan tidak hadir ceramah

KUALA LUMPUR 7 Ogos – Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor didakwa telah dinasihatkan untuk tidak hadir ke Ceramah Mega Perikatan Nasional (PN) yang berlangsung di padang awam Taman Ria, Sungai Petani, malam tadi.
Ketiadaan Ketua Pengarah Pilihan Raya PN yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) menyebabkan ribuan penyokong parti itu yang hadir kecewa.
Muhammad Sanusi sepatutnya menyampaikan ucapan dalam ceramah sepentas bersama Pengerusi PN Merbok yang juga Ahli Parlimen Merbok, Mohd. Nazri Abu Hassan dan Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden.
Afnan Hamimi yang juga bekas Setiausaha Politiknya ketika mengumumkan ketiadaan Menteri Besar pada program itu menjelaskan, Muhammad Sanusi tidak dapat hadir kerana dinasihatkan untuk tidak berbuat demikian.
“Saya nak baca kertas ini tulis berita yang menyedihkan. Pagi tadi (semalam) Menteri Besar mesyuarat di Kuala Lumpur, mesyuarat penting. Dalam mesyuarat tersebut dibincang beberapa perkara penting, perkara besar. Daripada itu dinasihatkan beliau tidak meneruskan ceramahnya pada malam ini.
“Ini kerana ada perangkap yang dipasang oleh musuh, perangkap itu menghendaki Menteri Besar kita masuk ke dalam itu, (kemudian) dia pegang dan buat sesuatu kita tak jangka, jadi dalam waktu ini kita kena bersedia segala kemungkinan,” katanya pada program berkenaan, malam tadi.
Kelmarin, Muhammad Sanusi turut tidak hadir ke program Sembang Santai Bersama calon PN DUN Lunas dan Merbau Pulas yang berlangsung di Padang Awam Taman Serai Wangi di Padang Serai.
Sementara itu, Afnan Hamimi meminta semua penyokong PN agar bersedia dengan segala kemungkinan yang mungkin akan berlaku dalam tempoh sehari dua ini.
“Macam-macam benda yang dahsyat dan tuan-tuan kena bersedia dari sudut menjaga kubu. Kedua kita juga kena ingat kemenangan ini Tuhan bagi, jangan tinggal solat hajat doakan keselamatan MB kita, calon-calon dan semua orang sebab pergantungan dengan Allah akan menentukan kemenangan pada 12 Ogos ini.
“Oleh kerana MB tak dapat hadir, maka kita tunggu kemunculan dia dan perjuangan dia akan diteruskan. Insya-Allah kalau tak jumpa malam ini, kita akan sambut dan jumpa dia pada 12 Ogos nanti. Kita akan rai kemenangan dan akan kembali tabal (Sanusi) sebagai MB setelah mencapai kemenangan,” katanya. – XKlusif