Berita

PRN: Akaun bank dibeku, Muhyiddin dedah sumber belanja kempen PN

KUALA LUMPUR 29 Julai – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan sumbangan untuk menjalankan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) disalurkan kepada gabungan itu bukan satu kesalahan.

Muhyiddin berkata, sumbangan berkenaan tidak perlu dipertikaikan berikutan ia hasil kerja keras penyokongnya untuk membantu kelancaran kempen gabungan itu.

“Ya, akaun saya semua dibekukan dan ini semua (sumbangan) adalah wang rakyat (penyokong) untuk membantu Bersatu dan PN.

“Jadi, kenapa kita perlu mempersoalkan (derma yang diberikan) kerana saya tidak mempertikaikan berapa banyak pun (wang) yang mereka (Pakatan Harapan-Barisan Nasional) belanjakan (untuk kempen mereka),” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Penamaan Calon (PPC) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai sumber dana mereka selepas mendapat sokongan ramai penyokong dan jentera PN yang meriah dengan sepanduk dan panji-panji calon mereka.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pagoh itu turut menyindir beberapa pengumuman bantuan tunai yang diumumkan kerajaan, baru -baru ini.

“Tiba-tiba sekarang kamu ada duit. Tengok, inilah yang (Perdana Menteri) Datuk Seri Anwar Ibrahim lakukan sepanjang masa.

“Dia tabur janji demi janji ketika orang ramai menunggu, tetapi tiada apa yang diberikan.

“Tetapi tiba-tiba semua ini (bantuan tunai) dilakukan dalam masa dua minggu,” katanya.

Terdahulu Muhyiddin, tiba di PPC berkenaan kira-kira 8.30 pagi.

Beliau mengiringi calon PN, Datuk Seri Azmin Ali yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Hulu Kelang, Muhammad Hanif Jamaluddin (Sungai Tua) serta penyandang kerusi Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham (Bersatu) mempertahankan Dun sama. Harian Metro

Artikel Berkaitan

Back to top button