Politik

PRN: Anwar, Zahid boleh jadi punca kegagalan PH

KUALA LUMPUR 9 Mei – Pakatan Harapan (PH) dijangka berada dalam kedudukan membimbangkan berikutan bakal berdepan saingan sengit dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi dengan kebangkitan Perikatan Nasional (PN).

Penganalisis politik, Prof Dr Ahmad Atory Hussain berkata, pengundi khususnya kaum Melayu dilihat kecewa dengan keputusan UMNO untuk bersama Pakatan Harapan (PH) dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan yang turut disertai DAP.

“Sebahagian besar Melayu tidak bersetuju dengan prinsip dengan perjuangan DAP yang tidak mementingkan kepetingan orang Melayu.

“Berbeza dengan MIC dan MCA, mereka masih berada di bawah parti (UMNO) yang dipimpin oleh orang Melayu, jadi mereka tidak keberatan untuk memberi sokongan kepada MIC dan MCA walaupun mereka bertanding di kawasan majoriti Melayu,” katanya ketika dihubungi Xklusif, di sini, hari ini.

Menurutnya, dengan palbagai konflik dan kemelut berlaku dalam UMNO juga bakal mengalihkan perhatian kepada perjuangan PN dan jari akan dituding kepada Zahid.

“Anwar dan Zahid sendiri akan menjadi punca kekalahan kepada PH jika rakyat beralih kepada PN yang dilihat lebih relevan kepada kepentingan orang Melayu.

“Rakyat sudah mula mengecam pentadbiran Anwar yang tidak mengutamakan kebajikan rakyat seperti pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Perkara ini menimbulkan kebimbangan kepada PH sendiri dan tidak mustahil jika mereka berhempas pulas memenangi PRN nanti,” katanya.

Katanya lagi, sekiranya DAP cuba meletakkan calon Melayu di kawasan orang Melayu juga belum tentu dapat memenangi hati pengundi yang sudah bijak menilai.

“Sukar, amat sukar kalau DAP mahu memenangi hati orang Melayu. Perkara ini memang sudah diketahui sejak dahulu lagi. Perjuangan dan prinsip tidak sama dengan kemahuan orang Melayu.

“DAP juga banyak kehilangan kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu. Jadi, sukar untuk mereka untuk memikat hati pengundi. DAP akan kekal sebagai pembantu PKR,” katanya.

Mengakui PN semakin kuat, beliau tidak menolak kemungkinan rakyat akan memberi kepercayaan kepada PN di negeri besar seperti Selangor.

“Tidak mustahil PN akan memenangi PRN Selangor kerana mereka terdiri daripada parti Melayu kepada keseluruhannya dan ditambah dengan pelbagai kecaman kepada PH sekarang.

“Pengundi bukan Melayu juga sudah bijak. Mereka kini lebih dinamik dan pragmatik yang akan memilih parti yang betul-betul boleh memberi kebaikan kepada rakyat.

“Apa-apa pun, kuasa mutlak di tangan rakyat. Mereka yang akan menentukan siapa pemimpin yang mampu memberikan yang rakyat perlukan,” katanya. – Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button