PRN: Harrison lebih selesa turun padang daripada berceramah
Menjadi calon 'orang luar' bukan satu masalah besar buat Harrison Hassan.

KUALA SELANGOR 4 Ogos – Biarpun dianggap sebagai ‘orang luar’, namun ia tidak menjadi isu besar buat calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram, Datuk Harrison Hassan bagi mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.
Malah, perkara itu menjadi kekuatan baginya apabila mampu mengenal pasti keperluan dan pembaharuan diperlukan penduduk Jeram.
“Berbanding dengan anak jati kawasan, mereka mungkin sudah sebati dengan situasi di kawasan mereka sehingga gagal melihat apa yang diperlukan oleh penduduk.
“Jadi, hasil daripada pemerhatian saya di Jeram selama beberapa bulan, saya percaya dapat mengumpul sebanyak mungkin maklumat mengenai keperluan penduduk.
“Apa yang lebih penting kini saya mahu berikan yang terbaik kepada penduduk Jeram yang mahukan pembaharuan secara keseluruhannya,” katanya kepada Xklusif, di sini, hari ini.
Menurut Harrison, setakat tempoh seminggu berkempen, beliau mendapat banyak reaksi positif daripada penduduk Jeram.
“Saya sudah mula berjumpa penduduk Jeram sejak bulan Ramadan lalu supaya mereka tidak terkejut dengan kehadiran saya disini, Alhamdullilah respon diberikan sangat positif.
“Saya percaya selagi kita ikhlas berjuang untuk rakyat, semuanya akan berjalan lancar dan rakyat juga sudah pandai menilai untuk menentukam siapa yang layak menjadi pemimpin mereka,” katanya.
Justeru, Harrison akan meneruskan pendekatannya dengan turun padang sekerap mungkin untuk menemui pengundi berbanding program ceramah.
“Sekiranya saya menang di Jeram, saya tidak mahu mengulangi kesilapan pemimpin terdahulu yang dikecam hanya akan berjumpa pengundi ketika musim pilihan raya.
“Saya mahu berikan pembaharuan yang penduduk mahukan biarpun saya terpaksa bermula dari bawah dan menggunakan seluruh kudrat yang ada,” katanya.
Harrison berdepan saingan dua penjuru menentang calon Barisan Nasional (BN) Datuk Jahaya Ibrahim yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Selangor. – Xklusif