PRN: Lima calon ‘wajib menang’ akhirnya tersungkur
PRN kali ini menyaksikan kerusi yang dijangka kekal peroleh keputusan sebaliknya.

KUALA LUMPUR 13 Ogos – Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini ternyata mencipta kejutan luar biasa apabila ramai calon heavyweight yang dijangka mampu mengekalkan kemenangan tetapi tersungkur di kerusi yang ditandingi masing-masing.
Antara calon yang ‘ditolak’ rakyat dalam pemilihan PRN kali ini ialah bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun.
Rina tewas kepada calon dari Pakatan Harapan (PH), Danial al-Rashid di kerusi DUN Batu Tiga.
Selain Rina, turut tersungkur ialah Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai yang bertanding di kerusi DUN Bayan Lepas.
Biarpun kerusi DUN Bayan Lepas sebelum ini dianggap kerusi selamat buat Perikatan Nasional (PN), Dominic tetap gagal menewaskan calon PH, Azrul Mahathir Aziz yang menang dengan majoriti 1,889 undi.
Di Kedah, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri tersebut, Datuk Seri Mahdzir Khalid turut tersungkur daripada kerusi DUN Pedu.
Mahdzir hanya berjaya meraih 8,024 undi berbanding pencabarnya daripada PN, Mohd Radzi Md Amin yang memperoleh 14,397 undi.
Beralih ke Pantai Timur, dua bekas Menteri Besar Terengganu iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Said dan Datuk Seri Dr Ahmad Razif Abd Rahman tewas di kerusi DUN yang ditandingi masing-masing.
Ahmad Said gagal mempertahankan kerusi DUN Kijal apabila tewas kepada pencabarnya, Datuk Razali Idris dengan majoriti 3,620 undi.
Manakala, Ahmad Razif pula kecundang di kerusi DUN Seberang Takir di tangan calon PN, Khazan Che Mat dengan majoriti 2,797 undi. — Xklusif