PRN: Naratif PN tidak menjadi, PH kekal penguasaan – Penganalisis
KUALA LUMPUR 8 Mei – Taktik Perikatan Nasional (PN) memainkan sentimen membabitkan kebajikan rakyat disifatkan hanya naratif remeh untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.
Ini berikutan PN bimbang akan mengalami kekalahan teruk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang yang lebih banyak memperlihatkan sokongan yang padu kepada Pakatan Harapan (PH) secara keseluruhannya.
Penganalisis Politik, Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, PN dilihat dalam keadaan yang genting berikutan rakyat mulai sedar akan kegagalan pemerintahan Datuk Seri Muhyiddin Yasin dan Datuk Seri Ismail Sabri.
“Semua yang rakyat mahukan sedang dilaksanakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini sedikit demi sedikit.
“Sebagai bukti, ekonomi kini semakin stabil dan masa yang lebih lama layak diberi kepada pemerintahan yang baru ini. Semuanya memerlukan masa untuk memulihkan apa yang gagal dikecapi dalam pemerintahan lalu.
“Jadi, tidak timbul isu bahawa PH akan kalah pada PRN hanya disebabkan naratif yang direka oleh PN kerana rakyat lebih bijak menilai kekuatan Anwar sebagai Perdana Menteri untuk memulihkan semula ekonomi rakyat,” katanya ketika dihubungi Xklusif, di sini, hari ini.
Katanya lagi, bagaimanapun harapan PH untuk sapu bersih dalam PRN kali ini mungkin tidak kesampaian berikutan Terengganu dan Kelantan mempunyai pengundi tegar yang besar untuk PAS.
“Kelatan dan Terangganu memang sudah diketahui mempunyai pengundi yang setia terhadap PAS sejak dahulu lagi, namun bagi negeri lain Anwar dilihat mendapat sokongan berdasarkan dasar yang dilaksanakan untuk membangunkan rakyat.
“Perkara (sumbangan) ini tidak boleh dinafikan kerana Anwar berjaya membuktikan bahawa beliau adalah pemimpin yang mengotakan janji biarpun belum setahun mentadbir.
“Apa yang cuba dilakukan pembangkang adalah hanya membangkitkan kemarahan rakyat dengan menggunakan sentimen yang boleh membimbangkan rakyat dari segi ekonomi,” katanya.
Menurut beliau lagi, isu seperti pengeluaran khas wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga hanya untuk mengalihkan perhatian sokongan rakyat daripada PH.
“Isu KWSP ini sudah pun diterangkan keburukkannya daripada pakar ekonomi yang hanya akan menyusahkan rakyat pada masa depan, malah kebanyakkan yang memperjuangkan KWSP tidak mempunyai simpanan pun.
“Di sini, kita boleh lihat isu KWSP ini hanya dimainkan untuk mengkritik pemerintahan Anwar sedangkan kerajaan sekarang lebih stabil berbanding pemerintahan terdahulu,” katanya. — Xklusif