PRN: Orang Selangor kalau silap undi akan jadi seperti Kedah, Kelantan – Anwar

KUALA LUMPUR 2 Ogos – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat Selangor bahawa negeri itu akan menjadi seperti Kedah dan Kelantan sekiranya Perikatan Nasional (PN) menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).
Berucap di hadapan lebih 2000 hadirin yang majoritinya masyarakat Cina di Tanjung Sepat, Pengerusi PH itu berkata pengundi di Selangor perlu mengundi gabungan PH-BN untuk menunjukkan bahawa negeri itu milik semua kaum.
“Saya minta pengundi Selangor untuk tunjuk (kepada) Bersatu dan PAS, ini negeri kepada semua kaum. Rakyat Selangor kena tunjuk mereka bukan bodoh. Dia (PN) boleh beli satu dua orang. Tapi tak boleh beli semua.
“Dia orang kata dia orang bawa parti Gerakan wakili Cina, saya nak tanya parti Gerakan hidup lagikah?
“Kamu silap undi, kamu akan jadi Kedah, kamu silap undi lagi, kamu akan jadi Kelantan,” katanya di program ceramah Jelajah Bersama PMX, di Dewan Muhibbah, Tanjung Sepat, Sepang.
Bagaimanapun, Anwar tidak menjelaskan secara terperinci mengenai apa yang dimaksudkan Selangor akan menjadi seperti Kedah dan Kelantan sekiranya PN menawan negeri itu.
Turut hadir Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki; Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong; calon PH DUN Tanjung Sepat, Borhan Aman Shah; calon BN DUN Dengkil, Norazli Said dan calon PH Sungai Pelek, Lwi Kian Keong.
Selain penyokong Umno, ahli MIC dan wakil Orang Asli juga dilihat hadir dalam program malam tadi.
Terdahulu, Anwar juga mencabar PN berkempen dengan membentang kejayaan mereka ketika menjadi kerajaan persekutuan.
“Ini bukan masa untuk maki orang.
“Saya ingatkan Muhyiddin (Yassin) dan PAS, kamu ceritakan apa kamu buat, kamu ceritakan kamu akan buat (jika menang). Tak guna maki,” katanya.
PRN di enam negeri ditetapkan 12 Ogos ini yang menyaksikan buat kali pertama PH bekerjasama dengan BN bagi menghadapi PN. – Xklusif