PRN: PN guna isu KWSP jadi senjata, Anwar akui tak gentar
Putrajaya tidak akan gentar dengan taktik pembangkang terus menghasut rakyat untuk mendesak pengeluaran KWSP bersasar.

KUALA LUMPUR 8 Mei – Isu pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka dijadikan senjata pihak pembangkang untuk menyerang kerajaan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengulangi pendirian kerajaan tidak akan membenarkan pengeluaran khas itu berkata Putrajaya tidak akan gentar dengan taktik pembangkang terus menghasut rakyat untuk mendesak pengeluaran KWSP bersasar.
Anwar berkata, beliau tidak akan membuat keputusan hanya untuk memenuhi selera sekumpulan kecil pencarum, memandangkan badan berkanun itu berperanan memelihara dana saraan hari tua.
“Masa Covid-19 lain, sebab keadaan mendesak ketika itu. Tapi sekarang rakyat dah bebas untuk keluar bekerja.
“Sebab itu saya setuju dengan usul pengurusan KWSP tidak lagi membenarkan pengeluaran kecemasan.
“Saya percaya ini akan terus dimainkan pihak di sebelah sana termasuk menjelang PRN akan datang tetapi ia tidak menggusarkan kita,” katanya.
Pada sidang Dewan Rakyat bulan lalu, Ahli Parlimen pembangkang diketuai Perikatan Nasional (PN) bertindak keluar dewan selepas tidak berpuas hati apabila permintaan untuk membahaskan isu pengeluaran KWSP bersasar ditolak pada permulaan persidangan.
Ia selepas seorang pemandu teksi, Noorazlan Ismail,48, berjalan lebih 300km dari Skudai, Johor, ke Istana Negara untuk mendesak pengeluaran simpanan KWSP bersasar.
Kisahnya mendapat perhatian pemimpin Bersatu termasuk Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan dan Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin yang dibawa bertemu Ahli Parlimen lain di bangunan Parlimen ketika itu.
Sementara itu, Anwar menggesa KWSP meningkatkan pelaburan langsung domestik (DDI) kepada 70% berbanding 64% tahun lalu.
Beliau yang juga menteri kewangan berkata, badan berkanun itu seharusnya mencari pelaburan domestik baharu untuk mencapai sasaran berkenaan. — FMT