Berita

PRN: Tiada hasrat perkenal garis panduan pemberian bantuan – Azam Baki

Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 telah menyatakan perkara tersebut secara jelas.

KUALA LUMPUR 31 Julai – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak berhasrat untuk memperkenalkan garis panduan khusus pemberian bantuan semasa pilihan raya.

Ini kerana kata Ketua Pesuruhjaya Tan Sri Azam Baki, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 telah menyatakan perkara tersebut secara jelas.

“Kami mohon semua pihak memahami akta ini,” katanya menerusi sidang akhbar selepas majlis pelancaran pemakaian kamera badan (BWC) dan jaket SPRM, di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai gesaan PAS agar satu panduan khusus disediakan.

Ia susulan pengumuman Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa peruntukkan geran tambahan RM100,000 kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) bagi tujuan pembangunan aktiviti golongan itu di negeri berkenaan.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, jumlah itu mungkin bertambah bergantung kepada prestasi golongan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

Pengumuman itu dikritik oleh banyak pihak termasuk pemimpin politik yang didakwa mempunyai unsur rasuah. – Sinar Harian

Artikel Berkaitan

Back to top button