PRN: Tidak bertanding, MIC, MCA janji akan sokong PH – Anwar

KUALA LUMPUR 6 Julai – MCA dan MIC akan tetap memberi sokongan kepada Kerajaan Perpaduan biarpun kedua-dua parti komponen Barisan Nasional (BN) itu mengumumkan enggan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberitahu bahawa beliau dihubungi sendiri oleh Presiden MCA dan MIC berhubung perkara berkenaan.
“Kedua-dua presiden MIC dan MCA ada hubungi saya dan menyatakan bahawa pada peringkat ini mereka tidak menyertai PRN.
“Tetapi, mereka akan memberikan sokongan dan saya fikir itu dalam ruang kuasa Barisan Nasional.
“Saya ucap terima kasih kerana kesetiaan mereka membantu dan masih mempertahankan kedudukan Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Beliau yang juga yang merupakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata demikian selepas melancarkan Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa 2023 di sini, hari ini.
Sementara itu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menghormati MIC dan MCA yang enggan bertanding pada PRN nanti.
Menurutnya, keputusan itu akan dibawa ke mesyuarat Majlis Dewan Tertinggi BN pada 10 Julai depan.
Ahmad Zahid turut menolak dakwaan bahawa kedua-dua parti itu bertindak memboikot PRN di enam negeri itu.
“Boikot? Mereka punya alasan tersendiri,” katanya.
Semalam, MCA dan MIC memutuskan untuk tidak bertanding pada PRN yang akan berlangsung di enam negeri pada 12 Ogos ini.
Pengumuman dibuat oleh Setiausaha Agung MCA, Chong Sin Woon sementara MIC menerusi setiausaha agungnya, RT Rajasekaran.
Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berjanji komponen BN itu akan tetap diberikan kerusi untuk bertanding pada PRN akan datang.
Bagaimanapun, MCA dan MIC kemudiannya membuat keputusan sedemikian.