Berita

Program Jelajah Peduli Ummah MAPIM, sebarkan semangat perpaduan bersama masyarakat Orang Asli Endau Rompin

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) telah menganjurkan Program Jelajah Peduli Ummah di kawasan perkampungan Orang Asli Endau Rompin, Johor, dari 2 hingga 5 November 2024 yang lalu. Program ini bertujuan merapatkan hubungan antara masyarakat kota dengan komuniti Orang Asli melalui pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang penuh makna.

Dengan penyertaan lebih 50 sukarelawan melibatkan 14 buah pacuan empat roda, program ini menyasarkan Kampung Orang Asli (KOA) Peta, Tewowoh, dan Pengkalan Bukit untuk menjalankan pelbagai aktiviti yang memperkasa komuniti serta memupuk kesepaduan nasional.

Jelajah Peduli Ummah untuk Komuniti Terpinggir

Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM, Dr. Sani Araby Al Kahery menjelaskan hasratnya untuk membantu komuniti yang terpinggir dan memperkukuhkan semangat perpaduan. “Program ini dirancang untuk menjangkau mereka yang terpinggir dan memastikan setiap individu mendapat perhatian yang sewajarnya. Kami berhasrat menjadikan program ini sebagai platform penyaluran bantuan dan memupuk perpaduan,” katanya.

MAPIM, bersama rakan strategik seperti Cinta Gaza Malaysia (CGM), ZUS Coffee, dan Malaysian Relief Agency Johor (MRA), menyalurkan bantuan secara langsung kepada 113 keluarga di KOA Peta, 31 keluarga di KOA Tewowoh, dan 13 keluarga di KOA Pengkalan Bukit. Bantuan termasuk 157 kotak makanan, jamuan makan malam kepada 150 penduduk kampung dan mobile clinic bagi pemeriksaan kesihatan.

Sebagai tambahan, 50 unit meja belajar telah disumbangkan kepada Sekolah Rimba yang diasakan oleh MRA Johor di KOA Peta, sebuah sekolah unik yang menekankan pendidikan tradisional Orang Asli. Sekolah ini dikendalikan oleh penduduk kampung sendiri, yang berkongsi ilmu budaya dan tradisi sebagai langkah untuk memelihara warisan yang berharga.

Kerjasama yang Berterusan dalam Semangat Perpaduan

Menyahut seruan YB Datuk Seri Haji Johari bin Abdul Ghani yang menekankan kepentingan memberi perhatian kepada masyarakat tempatan yang menghadapi kesusahan dan sering terpinggir, MAPIM terus memperkukuhkan kerjasama dengan pelbagai agensi dan NGO untuk menyatukan usaha dalam memperkasakan komuniti terpinggir serta menyediakan bantuan, terutama sebagai persediaan menghadapi musim banjir.

Kawasan KOA Peta, yang dikenal pasti sebagai zon merah berisiko tinggi, mendapat perhatian khas dalam pengagihan bantuan makanan, selaras dengan misi kemanusiaan MAPIM kali ini.

Menghidupkan Tradisi dalam Aktiviti Bermakna

Pelbagai aktiviti berunsur tradisional juga dijalankan bagi mengeratkan hubungan sukarelawan dengan penduduk setempat. Antara aktiviti menarik ialah bengkel anyaman, di mana penduduk kampung berkongsi kemahiran menganyam dengan sukarelawan sebagai cara untuk mengenali budaya mereka lebih dekat.

Di samping itu, sukaneka bersama kanak-kanak dan aktiviti menyumpit juga diadakan, yang menggambarkan elemen budaya tradisional Orang Asli, di mana peserta dapat merasai pengalaman sebenar kehidupan komuniti ini.

Mengukuhkan Silaturrahim Melalui Solidariti

Pada malam perasmian, Setiausaha Agung MAPIM, Muhammad Faris bin Hussien, merasmikan program, diikuti sesi perkongsian mengenai Palestin oleh Ketua Pegawai Eksekutif CGM, Nadir Al Nuri. Ucapan daripada Timbalan Tok Batin KOA Peta, Encik Yato, turut menambah makna kepada program ini. Beliau menzahirkan penghargaan atas bantuan kotak makanan yang amat berguna sebagai persiapan menghadapi kemungkinan banjir.

Pengarah Program, Aiman Syafiq, menyifatkan program ini sebagai usaha yang bukan sahaja memberi bantuan material, tetapi juga memperkukuhkan ikatan antara masyarakat. “Kami bertekad untuk memahami keperluan mereka serta memastikan setiap individu merasai manfaat daripada inisiatif ini,” katanya.

Perjalanan ke KOA Peta yang memakan masa hampir 2 jam melalui ladang kelapa sawit dan hutan simpan Taman Negara menggunakan kenderaan pacuan empat roda tidak menghalang para sukarelawan untuk meneruskan misi kemanusiaan ini.

Program empat hari tiga malam ini bukan sahaja memberi bantuan material kepada komuniti Orang Asli, tetapi juga membuka peluang bagi para peserta untuk memahami dan menghargai cara hidup komuniti ini secara lebih mendalam.

Artikel Berkaitan

Back to top button