Berita

Program Veteran MADANI Sri Aman bukti veteran ATM sentiasa diberi perhatian

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari menzahirkan penghargaan kepada veteran ATM menerusi Program Peduli Veteran MADANI (PVM) peringkat Daerah Sri Aman, Sarawak baru-baru ini.

Program ini merupakan kunjungan pertama beliau ke Sri Aman bermula 25 hingga 26 Ogos 2024. Timbalan Menteri Pertahanan telah memulakan siri jelajah ini dengan menyantuni veteran ATM di daerah Saratok, Engkili, Lubok Antu, Sri Aman, Serian sebelum mengakhiri kunjungan ke Sarawak pada kali ini di Kuching.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berpeluang menyantuni 20 orang veteran ATM yang sedang uzur dan sakit kronik serta seorang veteran ATM yang mengusahakan perniagaan kedai makan.

Sepanjang program, Adly berpeluang menyantuni 20 orang veteran ATM yang sedang uzur dan sakit kronik serta seorang veteran ATM yang mengusahakan perniagaan kedai makan. Selain bertanya khabar, Timbalan Menteri Pertahanan turut berbesar hati menyerahkan sumbangan berupa barang keperluan seperti makanan, susu kesihatan, lampin pakai buang kepada setiap veteran yang diziarahi serta mengagihkan sebanyak 550 Bakul Rahmah kepada persatuan-persatuan veteran setempat untuk diberikan kepada veteran asnaf.

Negeri Sarawak mempunyai seramai 16,939 orang veteran ATM dan 4,964 daripada jumlah tersebut adalah veteran yang tidak berpencen.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari ketika melakukan lawatan Program Peduli Veteran MADANI (PVM) peringkat Daerah Sri Aman, Sarawak baru-baru ini.

Peningkatan peruntukan JHEV ATM

Mendokong Teras ke-6 Dasar Madani iaitu ‘Ihsan’, Kerajaan komited meningkatkan peruntukan JHEV ATM dari RM118 juta kepada RM244 juta pada tahun 2024. Peningkatan yang begitu ketara ini mampu memberi manfaat yang lebih luas kepada Veteran ATM.

Justeru, veteran ATM disaran untuk mendaftar dan mengemaskini maklumat peribadi dengan JHEV ATM serta persatuan-persatuan di lokaliti masing-masing bagi memastikan semua Skim Bantuan yang disediakan oleh JHEV ATM seperti Bantuan Sara Hidup (BSH), Bantuan Persekolahan, Bantuan Kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi, Bantuan Peralatan Pesakit dan Bantuan Bencana Alam dapat disalurkan kepada veteran ATM yang berkelayakan secara teratur dan efektif.

Pada tahun ini, kerajaan juga telah meningkatkan peruntukan Bayaran Sara Hidup sebanyak tiga kali ganda iaitu daripada RM54 juta kepada RM174 Juta. Sehingga 30 Jun 2024, seramai 29,331 veteran ATM telah menerima faedah ini melibatkan perbelanjaan hampir RM56 juta.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari ketika menyampaikan bantuan waris Veteran ATM dalam Program Peduli Veteran MADANI (PVM) peringkat Daerah Sri Aman, Sarawak baru-baru ini.

 

Fokus utama Program Peduli Veteran MADANI

Inisiatif PVM bertindak sebagai medan untuk interaksi secara dua hala antara Kementerian Pertahanan dan Veteran ATM melibatkan 5 fokus utama iaitu kebajikan, kesihatan, perumahan, pendidikan, dan pemerkasaan ekonomi veteran ATM.

PVM akan terus menjadi platform Kementerian untuk menyampaikan sumbangan kebajikan dan insentif keusahawanan kepada Veteran ATM yang memerlukan sebagai galakan untuk memperkasakan sosioekonomi mereka.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berpeluang menyantuni seorang veteran ATM yang mengusahakan perniagaan kedai makan.

Menyokong inisiatif Pelan Strategik MINDEF 2021-2025: Teras 7 – Transformasi Kesejahteraan Veteran ATM, Kementerian Pertahanan beriltizam untuk terus komited dalam mempertingkatkan lagi PVM menerusi kerjasama dengan Bahagian Perkhidmatan Kesihatan ATM, Jabatan Kebajikan Masyarakat serta agensi-agensi yang berkaitan melalui siri lawatan kebajikan yang akan datang agar tiada Veteran ATM yang terpinggir daripada menerima segala manfaat yang disediakan.

Program PVM Sri Aman pada kali ini turut diiringi Pegawai Staf 1 Sekretariat JHEV ATM; Leftenan Kolonel Nor Azimi bin Idris, Pengarah JHEV Cawangan Negeri Sarawak; Mejar Steven Anak Kadir serta wakil persatuan-persatuan veteran ATM sekitar Sibu, Sri Aman dan Kuching.

Artikel Berkaitan

Back to top button