Projek LCS berjalan mengikut jadual, kapal pertama diserahkan 2026 – Khaled Nordin
Proses perolehan aset ketenteraan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini berada di landasan yang betul di bawah kelolaan Kerajaan Madani. Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan projek pembinaan lima Kapal Tempur Pesisir (LCS) sedang berjalan mengikut jadual yang ditetapkan, dengan kapal pertama akan diserahkan pada tahun 2026.
“Pembinaan kapal LCS yang telah mula pada tahun 2011 kini berjalan mengikut jadual. Insya-Allah dalam tempoh kerajaan yang ada pada hari ini, akhirnya kapal LCS untuk negara akan dapat disiapkan,” kata Khaled yang juga Naib Presiden UMNO.
Sebagai langkah kesiapsiagaan menghadapi konflik di Laut China Selatan, perolehan untuk membeli tiga kapal Littoral Mission Ship (LMS) telah dibuat baru-baru ini dengan anggaran kos RM2.5 bilion. Kapal-kapal tersebut dijangka siap dan penghantaran bermula pada bulan Oktober 2027.
“Kita tahu pergolakan di Laut China Selatan, pertindihan tuntutan dan dinamik kawasan itu. Jadi ini antara aset-aset yang kita telah berjaya beli dan insya-Allah ia akan membantu kita,” ujar Khaled.
Menyentuh mengenai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0, Khaled berkata, pelaksanaan program tersebut sedang berjalan dengan lancar dan dijangka dilancarkan pada tahun hadapan. PLKN bertujuan untuk memastikan adanya semangat patriotisme, sayang kepada negara serta hormat-menghormati di kalangan rakyat berbilang kaum.