Berita

Projek Penempatan Berasaskan Model FELDA untuk Orang Asal Bakal Ditubuh – Presiden MIC

IPOH Nov 10 – – Kerajaan akan membangunkan program penempatan berasaskan model FELDA khusus untuk komuniti orang asal di negara ini.

Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran berkata, projek perintis berkenaan antara salah satu inisiatif di bawah Pelan Tindakan Orang Asal yang akan memberi manfaat kepada seluruh masyarakat Orang Asal di Malaysia khususnya Sungai Siput.

Justeru katanya, bagi membolehkan projek perintis itu dapat dilaksanakan, satu entiti Perbadanan akan diwujudkan untuk pembangunan sosio-ekonomi Orang Asal.

“Projek yang tersusun seperti FELDA adalah contoh yang sangat baik. Misalnya, lot tanah yang akan diberi kepada Orang Asal akan lebih tersusun di bawah perbadanan yang akan diwujudkan nanti.

“Inisiatif ini akan memberi manfaat kepada semua komuniti Orang Asli di Malaysia khususnya di kawasan Parlimen Sungai Siput sekiranya Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15),” katanya kepada xklusif.my di sini, hari ini.

Beliau ditemui ketika Program Menyantuni Penduduk Perkampungan Orang Asal Pos Kuala Mu dan Pos Yum, Sungai Siput.

Sementara itu katanya, antara inisiatif lain dalam Manifesto Parlimen Sungai Siput adalah sasaran untuk menempatkan Orang Asal sebagai Ahli Majlis Perbandaran.

Beliau yang juga calon Parlimen itu berkata, BN sentiasa memahami hasrat dan keinginan komuniti Orang Asal untuk menjadi pemimpin.

“Permintaan mereka ini bukanlah tidak munasabah, maka saya merasakan tidak salah kita tunaikan (menjadi pemimpin).

“Saya sendiri pernah memberi peluang kepada Orang Asal di Cameron Highland sebagai Ahli Majlis Perbandaran dan ini sekaligus boleh diterjemah dalam sejarah bahawa parti MIC melalui BN telah memberi peluang kepada Orang Asal (menjadi pemimpin),” katanya.

Xklusif.my sebelum ini melaporkan mengenai banyak peluang pekerjaan baru bakal ditawarkan kepada penduduk Sungai Siput khususnya anak muda apabila projek pembangunan kilang paip gas akan dibangunkan di parlimen itu.

Menurut Vigneswaran, peluang pekerjaan baru untuk anak muda tempatan adalah antara usaha MIC agar mereka tidak perlu merantau mencari pekerjaan di luar kawasan hingga menyukarkan penjagaan ibu bapa masing-masing.

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button