Proses pemecatan keahlian UMNO tidak mengikut kelaziman – KJ

KUALA LUMPUR, Jan 28 — Proses pemecatan keahlian UMNO tidak mengikut proses lazim, kata Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.
Bekas Ahli Parlimen itu menegaskan perkara berkenaan yang membabitkan Lembaga Disiplin parti keramat itu.
Beliau turut mengesahkan tiada sebarang surat tunjuk sebab diberi serta sesi pendengaran daripada Lembaga Disiplin, sebelum pengumuman pemecatannya seperti dilaporkan media malam tadi.
“Mengesahkan tiada proses sewajarnya. Tiada surat tunjuk sebab dan pendengaran Lembaga Disiplin.
“Secara ringkasnya dan dibuang dalam tempoh satu hari daripada parti yang saya setia selama 23 tahun,” katanya menerusi Insta Story akaun Instagram beliau hari ini.
Sementara itu, media juga melaporkan bekas Ahli Parlimen Rembau itu dipetik tidak akan membuat rayuan selepas dipecat daripada UMNO kerana tidak yakin dengan keputusan yang dibuat oleh Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Bila sudah dipecat, pasti nak kena fikir soal masa depan politik. Apakah langkah seterusnya dan ada minta saya buat rayuan.
“Tetapi, saya rasa tak yakin dengan undang-undang rimba yang dipakai oleh presiden yang mana pemecatan itu dibuat tanpa mengikut proses biasa.
“Kalau hantar pun ia tidak dilayan, jadi saya rasa buang masa saja nak buat rayuan. Kalau inilah cara dia buang saya, maka memang tidak ada keadilan (dalam parti),” katanya dipetik menerusi laporan media itu.
Khairy dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tan Sri Noh Omar menyertai senarai pemimpin UMNO terbaru yang dipecat daripada parti itu selepas bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa dan Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shahidan Kasim.
Keputusan pemecatan itu dibuat pada MKT UMNO yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, malam tadi.
Ketua UMNO bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan pula digantung keahliannya selama enam tahun.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam kenyataannya malam tadi turut mengesahkan Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang, Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif juga digantung enam tahun, sementara Ahli MKT, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahaya diberi surat tunjuk sebab.
Turut dipecat malam tadi lima ahli UMNO Bahagian Pasir Gudang, sembilan ahli UMNO Bahagian Putrajaya, dua ahli UMNO Bahagian Tanjung Karang dan 26 ahli UMNO negeri Pahang.