Berita

Proses rakam keterangan Tun Daim ditangguhkan

Tun Daim sepatutnya dirakam keterangan oleh SPRM pada hari ini.

KUALA LUMPUR 15 Jan. – Proses merakam keterangan bekas menteri kewangan, Tun Daim Zainuddin dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditangguhkan.

Menurut sumber SPRM, berkata agensi itu sepatutnya merakam keterangan Daim hari ini berkaitan siasatan terhadap ahli perniagaan itu.

Sumber memberitahu FMT, temu bual perlu dijadual semula memandangkan Daim dimasukkan ke hospital.

“Kami dimaklumkan beliau dimasukkan ke hospital minggu lalu, jadi kami kena tetapkan tarikh baharu,” menurut sumber itu.

Bagaimanapun, sebab-sebab Daim dimasukkan ke hospital tidak dimaklumkan.

Pada 10 Jan, SPRM menyoal siasat isteri Daim iaitu Naimah Khalid, dan dua anak lelakinya untuk ambil keterangan berhubung aset yang dikaitkan dengan mereka.

Dalam kenyataan susulan, SPRM berkata notis dikeluarkan terhadap Daim mengikut Seksyen 36(1)(a) Akta SPRM 2009, pada 7 Jun 2023. Keluarganya juga turut dikenakan notis di bawah Seksyen 36(1)(b) akta sama.

SPRM berkata, siasatan terhadap Daim bermula Februari 2023 dan berdasarkan maklumat dalam Kertas Pandora, yang mana didakwa melibatkan beberapa tokoh terkenal negara yang menggunakan perkhidmatan luar pesisir yang menubuhkan dan mengurus amanah atau syarikat cengkerang di kawasan bebas cukai di seluruh dunia.

Daim dan keluarganya kemudian memfailkan permohonan di mahkamah untuk semakan kehakiman mencabar siasatan tersebut. Mereka mendakwa siasatan dibuat tidak mengikut perlembagaan. — FMT

Artikel Berkaitan

Back to top button