PRU15: 30 penyokong tegar Pas sokong BN di Sungai Petani

SUNGAI PETANI, NOV 17 — Seramai 30 penyokong tegar Pas di Kampung Sintok Bugis, Kota Kuala Muda, dekat sini, beralih arah memberi sokongan untuk memenangkan calon Barisan Nasional (BN), bagi kerusi Parlimen Sungai Petani pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Mohd Affendy Abdullah, 45, yang mewakili kumpulan tersebut berkata dia dan rakan-rakannya membuat keputusan tersebut berdasarkan kredibiliti calon BN, Datuk Shahanim Mohamad Yusoff yang sentiasa membantu rakyat tanpa mengira parti.
Beliau berkata, Shahanim yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, tetap memikul tanggungjawab membantu rakyat meskipun mandat sebagai wakil rakyat tidak diberikan kepada beliau pada PRU yang lalu.
“Walaupun beliau bukan penyandang di kerusi parlimen ini namun dia sentiasa ada setiap kali penduduk di sini memerlukan bantuan.
“Bagi pandangan kita, bukan parti yang menjadi keutamaan sekarang, tetapi kredibiliti calon yang bakal menentukan sama ada beliau layak menjadi wakil rakyat.
“Setelah melihat semua profil calon di Parlimen Sungai Petani, kita lihat hanya Datuk Shahanim sahaja yang mempunyai kredibiliti tersebut dan layak untuk menggalas tanggungjawab sebagai calon wakil rakyat terbaik di sini.
“Oleh itu, saya bersama rakan-rakan sepakat untuk memberi sokongan kepada beliau pada PRU15 ini,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi beramah mesra calon BN bersama anak muda di Kampung Sintok Bugis, dekat sini, semalam.
Sementara itu, Shahanim berkata ikrar yang dibuat penyokong tegar Pas di hadapannya itu memberi semangat untuk beliau melipat gandakan usaha memenangi hati pengundi di Parlimen itu.
“Saya bersyukur dengan sokongan yang diberikan dan berharap lebih ramai lagi yang akan membuat pertimbangan yang sama pada PRU15, Sabtu ini.
“Saya harap pengundi di Parlimen Sungai Petani ini dapat beri saya peluang untuk berkhidmat dan memajukan kawasan ini selepas 15 tahun kawasan ini ketinggalan daripada aspek pembangunan,” ujarnya.