Politik

PRU15: “Ayor atau Ayaq” Jadi Bahan Gurauan, PRU Bukan Untuk Main-main – Saarani

IPOH Nov 9 — Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyelar tindakan sesetengah pihak menjadikan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 sebagai gurauan.

Malah menurutnya, tujuan PRU diadakan adalah bagi menyerahkan mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan namun dicemari dengan gurauan antaranya mengenai istilah ‘ayor atau ayaq’ yang dimainkan calon Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

“Pada saya PRU ini bukan main-main, ia bukanlah setakat istilah ‘ayor atau ayaq’ yang hendak diperbesarkan walaupun dalam bentuk gurauan.

“Tapi rakyat di luar sana, bila lihat orang bergurau mengenai pilihanraya, mereka tertanya-tanya. Banyak yang mereka perlu fikirkan, nak makan apa, kerja apa, nak bangunkan perniagaan dan sebagainya, mereka tidak mahu dengar gurauan sebegini dari ahli politik.

“Saya tak boleh, perkara sebegini sangat sensitif untuk saya sebab saya sendiri merasai turun padang melihat bagaimana orang susah, bagaimana orang menderita akibat covid19.

“Gurauan seperti ‘ayor atau ayaq’, yang penting kepada rakyat sama ada cukup makan atau tidak, ada pekerjaan selesa atau tak, ada rumah untuk tempat berteduh, ada program modal insan dan belia atau tidak, ada peluang hidup sejahtera itu lebih penting,” katanya pada Program Pelancaran Manifesto BN Perak di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikian bagi memberi  reaksi terhadap Ahmad Faizal atau Peja memberi yang berseloroh mengatakan penduduk Tambun menyebut perkataan air sebagai ‘ayor’, dan bukannya ‘ayaq’ merujuk kepada pencabarnya yang juga calon Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berasal dari Pulau Pinang.

Malah, sehari selepas Menteri Belia dan Sukan itu mengeluarkan kenyataan tersebut, satu papan iklan, memaparkan gambar Ahmad Faizal dengan tulisan “Ayor bukan ayaq” dinaikkan di pekan Tambun.

Tambah Saarani, reaksinya terhadap perkara itu tidak bermakna beliau memberi sindiran tajam sebaliknya hanya sekadar untuk mengingatkan dirinya sendiri dan semua bahawa PRU ini sesuatu yang serius.

Disebabkan itu katanya, apa yang dibentangkang (manifesto) bukan berdasarkan retorik dan tidak main-main.

“Saya seorang guru, profesion ini tidak boleh melawak perkara seumpama ini,” katanya.

Artikel Berkaitan

Back to top button