PRU15: Bersatu tidak ralat tinggalkan PH – Muhyiddin
PENDANG, Nov 9 — Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak ralat apabila membuat keputusan meninggalkan Pakatan Harapan (PH) yang sedang membentuk kerajaan sejak Mei 2018, sebelum ini.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, tindakan itu adalah sesuatu yang tepat dan betul pada masanya kerana PH menjalankan pemerintahan negara dengan cara yang jelas memudaratkan kepentingan rakyat terbanyak.
“Kalau pemandu bas hendak menjunam jatuh ke gaung, sebagai penumpang apa tuan-tuan buat? Cepat fikir, jangan ikut dan mesti lompat keluar untuk tinggalkan bas itu.
“Kami tahu kalau negara ini jatuh, sukar untuk kita naik kembali. Alhamdulillah, semuanya takdir dan saya tidak ralat meninggalkan PH,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Siri Jelajah PN Parlimen Pendang di Pusat Konvensyen Pendnag (PCC) di Kedah, semalam.
Katanya, DAP telah melakukan penentangan kepada usaha menegakkan Islam sebagai teras pembangunan negara serta tidak menyokong perkara berkaitan hak-hak orang Melayu.
“Banyak perbuatan mereka bercanggah dengan tuntutan Islam. Kumpulan sebegini tidak seharusnya berikan peluang langsung untuk mentadbir bukan saja untuk 22 bulan, malah 22 jam sekali pun,” katanya.
Justeru, beliau menyeru rakyat agar memberikan mandat besar bagi membolehkan PN membentuk kerajaan pasca PRU-15.
“Kita memerlukan mandat kerana masih ada misi yang belum selesai. Ketika ini negara kita belum kembali sepenuhnya seperti semasa sebelum Covid-19.
“Dalam PRU ini, kita nak memilih kerajaan bertanggungjawab, boleh dipercayai, berani dan tegas bagi menyelesaikan masalah negara. Saya fikir PN memiliki kemampuan itu dan kita boleh uruskan negara selepas ini, termasuk menunaikan manifesto PN,” katanya.