PRU15: Biar SPR ambil tindakan jika ada calon belanja lebih had – Hishamuddin

SUNGAI SIPUT, Nov 13 — Barisan Nasional (BN) menyerahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengenakan tindakan sewajarnya kepada mana-mana calon yang didapati berbelanja melebihi had dalam kempen politik seperti mana yang telah ditetapkan.
Bendahari BN, Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein berkata, pihaknya sentiasa melakukan pemantauan dan tiada perkara yang akan disembunyikan sekiranya terdapat calon yang didapati bersalah.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melakukan tinjauan kempen Parlimen Sungai Siput, di sini, hari ini.
Terdahulu, Calon Pejuang Parlimen Kuala Selangor, Shaid Rosli mendakwa calon Barisan Nasional Parlimen itu melakukan pelanggaran Akta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) 1957.
Beliau mendakwa ia membabitkan pemasangan bahan kempen sebelum hari penamaan dan had perbelanjaan untuk membiayai kempen politik melebihi RM200,000.
Sementara itu, mengulas lanjut mengenai momentum BN setakat lapan hari berkempen, Hishammudin memaklumkan, beliau menerima respon positif daripada jentera dan orang ramai yang dilihat menyokong calon yang dipertandingkan.
“Fasa pertama kempen BN di sini adalah sangat penting dan sambutan penduduk amat memberansangka. Momentum ini perlu ditingkatkan dalam fasa kedua pada minggu depan.
“Jadi, minggu depan Sungai Siput masuk gear empat terus dan pastikan jentera berada dalam keadaan siap siaga dan kemas.
Katanya, tidak mustahil untuk BN merampas semula beberapa kerusi Parlimen yang pernah kalah pada PRU14 sebelum ini.
Parlimen Sungai Siput di Perak menyaksikan pertembungan tujuh penjuru, termasuk tiga calon Bebas, bertanding merebut kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Penyandang, S Kesavan, dari Pakatan Harapan (PH) akan dicabar Presiden MIC Tan Sri S A Vigneswaran, yang mewakili Barisan Nasional (BN), Datuk Seri G Irudianathan, mewakili Perikatan Nasional (PN) dan Ahmad Fauzi Mohd Jaafar (Pejuang).
Tiga calon Bebas yang turut mencuba nasib ialah, suri rumah, R Indrani, bekas Ketua Penerangan PN Sungai Siput, Baharudin Kamarudin, dan ahli perniagaan, N Rajah.
Sementara itu, Vigneswaran berkata, kehadiran Hishamuddin meninjau kempen BN di Sungai Siput memberi impak positif khususnya kepada masyarakat setempat yang mahukan pemimpin turun padang.
“Impak Datuk Seri (Hishamuddin) hadir amatlah baik kerana beliau calon yang juga kepimpinan tertinggi sanggup turun padang dan berjumpa masyarakat majmuk.
“Apabila kepimpinan tertinggi parti turun dan tunjuk muka dan secara tidak langsung menganggap penduduk Sungai Siput amat mustahak,” katanya.