Politik

PRU15: ‘Biarlah ikhlas jumpa penduduk’ – Saravanan

TAPAH, Nov 12 — Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M Saravanan berkata perkhidmatan yang ikhlas kepada masyarakat setempat akan membawa kepada ‘jaminan undi’ pada hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Tapah itu berkata pengundi yang kebajikannya dijaga dari awal termasuk melibatkan ahli keluarga, pastinya akan membalas budi mana-mana wakil rakyat di kertas pengundian sekaligus menjamin kemenangan seseorang calon yang bertanding.

“Seeloknya kita kena ikhlas, jangan sombong.. Pengalaman saya sebelum ini, saya masuk semua tempat tidak kira bangsa, kaum dan agama. Ada penduduk yang masih ingat sumbangan yang saya berikan. Ada juga orang tegur saya walaupun saya tidak kenal.

“Ada yang berterima kasih kerana bantu mereka masuk belajar atau lanjutkan pelajaran. Jadi kita kena ikhlas dengan rakyat. Kelak nanti mereka sendiri akan datang balik dan hargai kita, sampai tidak perlu berkempen pun,” katanya sewaktu menyertai kenduri rakyat di Kampung Padang, Bidor hari ini.

Sementara itu, Saravanan sempat menyantuni seorang penduduk Bidor yang berdepan masalah rumah uzur sejak beberapa bulan lalu.

R Padmavathi, 77, berkata sebahagian rumahnya uzur kira-kira enam bulan dan memerlukan bantuan untuk kerja baik pulih.

Katanya, dia terpaksa meminta bantuan Saravanan untuk membiayai kos baik pulih rumah kerana tinggal di rumah itu keseorangan.

“Sebahagian rumah saya pecah dan atap zink juga semuanya sudah tercabut setiap kali hujan ribut. Saya buntu memikirkan cara untuk membaiki rumah kerana saya tiada pendapatan.

“Mujurlah Datuk Seri (Saravanan) prihatin dengan nasib saya dan sanggup bantu untuk biaya kos baik pulih rumah,” katanya.

Katanya lagi, sejak rumahnya rosak, dia tidak boleh memasak dan terpaksa menumpang rumah jiran untuk mandi.

Katanya yang sebak ketika berjumpa Saravanan, dia terharu apabila akhirnya dapat menduduki rumahnya semula.

Artikel Berkaitan

Back to top button