PRU15: BN ‘bikin’ kejutan!

KUALA LUMPUR, Nov 2 – Kerusi Parlimen Bagan Datuk kekal menjadi taruhan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 November ini.
Ahmad Zahid membuat pengumuman untuk bertanding pada Majlis Pengumuman Calon Barisan Nasional (BN) di Dewan Tun Hussein Onn, Kuala Lumpur malam semalam.
Selain itu, Ahmad Zahid turut mengumumkan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menggantikan Khairy Jamaluddin Abu Bakar di Parlimen Rembau.
Dalam pengumuman sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut disahkan kekal mempertahankan kerusi Parlimen Bera.
Ratusan penyokong turut berteriak gembira apabila nama Ismail Sabri diumumkan kekal bertanding di Bera.
Dalam pada itu, pendakwah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias atau turut Ustaz Kazim menjadi taruhan BN bagi merebut kerusi Parlimen Larut.
Difahamkan, pemilihan tokoh agama itu berdasarkan populariti dan pengaruhnya di negeri Perak dan dikatakan sesuai untuk diletakkan sebagai ‘underdog’ di kawasan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Pada PRU14 lalu, kerusi Parlimen Larut dimenangi Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin menang atas tiket BN selepas mengalahkan calon Pas, Abu Husin Mohamad dengan majoriti undi sebanyak 4,486.
Selepas itu, beliau keluar daripada UMNO dan menyertai Bersatu pada 2019.
Sementara itu, Tan Sri Annuar Musa sah digugurkan daripada senarai calon BN pada PRU15 bagi Parlimen Ketereh.
Kerusi itu akan diisi oleh Marzuani Ardila yang juga Ketua Puteri UMNO Bahagian Ketereh.
Pada PRU14, Annuar berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Ketereh dengan meraih majoriti 4,626 undi menewaskan calon Pas, Wan Ismail Wan Jusoh dan calon PKR, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.
Selain itu, penyandang Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim; penyandang Parlimen Kota Tinggi, Datuk Halimah Sadique; penyandang Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan penyandang Parlimen Tenggara, Datuk Seri Dr Adham Baba tidak dicalonkan semula.
PN tanding 169 kerusi dalam PRU15