Politik

PRU15: BN Langkawi enggan tabur janji palsu

LANGKAWI, Nov 6 — Calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Langkawi, Datuk Armishah Siraj menegaskan  beliau tidak akan menabur janji yang tidak boleh dilaksanakan semata-mata untuk meraih undi.

Katanya, beliau lebih selesa menjadi diri sendiri dengan menggunakan konsep kurang bercakap tetapi boleh bekerja.

“Jangan cakap banyak, sebaliknya buktikan yang saya boleh buat kerja, saya lebih selesa menunjukkan karakter diri saya yang sebenar.

“Saya tidak mahu janji sana, janji sini tiba-tiba tidak boleh buat,” katanya.

Beliau berkata sebagai bekas pegawai kerajaan, cara beliau bekerja ialah dengan membuktikan beliau boleh menyelesaikan sesuatu masalah.

“Kita kurangkan politik sedikit untuk selesaikan masalah, saya rasa itu yang rakyat perlukan sekarang,” katanya.

Tambahnya, beliau akan memfokuskan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh penduduk setempat selain isu-isu lain seperti isu feri dan cara untuk merancakkan lagi industri pelancongan di pulau ini.

Datuk Armishah Siraj akan bertanding merebut kerusi Parlimen Langkawi yang disandang oleh Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Calon lain yang turut bertanding ialah, Datuk Mohd. Suhaimi Abdullah (Perikatan Nasional), Zabidi Yahya (PH) dan calon bebas yang menggunakan lambang bunga, Datuk Abd. Kadir Sainudin.

Pada PRU14, Dr. Mahathir menang dengan majoriti 8,893 undi menewaskan calon BN, Datuk Nawawi Ahmad dan calon Pas, Zubir Ahmad.

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button