PRU15: BN, PN umum calon serentak malam ini

KUALA LUMPUR, Nov 1 – Perhatian akan tertumpu kepada Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) malam ini apabila kedua-dua parti akan mengumumkan calon masing-masing yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
BN bakal mengumumkan senarai calon mereka di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di ibu negara pada jam 8.30 malam ini.
Sementara PN pula akan membuat pengumuman sama di MITEC, Jalan Dutamas 2 pada masa sama.
Sebelum ini, pelbagai spekulasi yang timbul membabitkan beberapa nama besar parti termasuk peringkat akar umbi yang dikatakan bakal digugurkan.
Antara nama besar yang menjadi bualan adalah Tan Sri Annuar Musa, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Zahidi Zainul Abidin yang dikatakan tidak tersenarai sebagai calon BN yang bertanding.
Ia disokong dengan bayangan yang diberikan Annuar dan Shahidan seolah mereka tidak tercalon untuk sebarang kerusi pada PRU15 ini.
Annuar yang juga penyandang Kerusi Parlimen Ketereh menerusi hantaran di Facebook juga seolah-olah memberi bayangan wujud konflik dalam pemilihan calon.
Beliau berkata, BN memberi jaminan calon bakal ditampilkan mempunyai ciri-ciri ‘WALI’ merujuk kepada boleh memenangi (winnable), diterima (acceptable) dan disukai (likeable), namun yang berlaku sebaliknya.
“Janji kononnya bakal dipilih adalah para WALI, namun kedengaran sana-sini banyak sudah ‘winners’ dipancung, terutama yang dekat dengan PM…tapi itu rumours (khabar angin),” katanya.
Sementara di Parlimen Arau, Shahidan pula mengesahkan semua bilik gerakan BN di parlimen yang disandangnya itu bagi menghadapi PRU15 ditutup serta-merta, malam tadi.
Di pihak PN pula, beberapa nama besar diumumkan termasuk Datuk Seri Rina Harun yang akan bertanding di Parlimen Sepang, sekali gus tidak pertahankan kerusi Parlimen Titiwangsa yang disandangnya.
Turut menarik perhatian mengenai calon-calom Bersatu dan PAS yang bakal menentang nama-nama besar BN serta Pakatan Harapan (PH).