Politik

PRU15: BN Tapah yakin menang hati penduduk

TAPAH, Nov 16 — Berbaki tiga hari lagi kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Barisan Nasional (BN) Tapah yakin dengan sokongan diberikan penduduk terhadap perjuangan parti berkenaan yang bakal mengangkat kawasan itu ke arah bandar yang lebih moden.

Calon BN Parlimen Tapah, Datuk Seri M Saravanan berkata, beliau jelas dengan sokongan dan maklum balas positif diberikan penduduk sekali gus yakin BN akan memenangi lebih banyak kerusi pada PRU15 nanti.

“Sehingga ke hari ini, saya dapati berdasarkan sokongan daripada penduduk, kemungkinan besar keadaan akan kekal sama seperti sekarang.

“Malah, hampir keseluruhan keperluan penduduk Tapah meliputi semua kaum sudah pun berjaya dipenuhi sejak BN mewakili kawasan ini,” katanya.

Ditanya mengenai kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenderiang yang dimenangi oleh PH, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada PRU14 lalu dengan majoriti hanya 39 undi, Saravanan yakin BN akan merampas kembali kerusi berkenaan.

“Saya tak berani nak cakap kita akan menang majoriti besar, namun berdasarkan sokongan penduduk, rata-ratanya mahukan BN kembali ke kerusi DUN Chenderiang.

“Di setiap kawasan yang kita pergi, tiada siapa yang soal mengenai pembangunan atau janji-janji. Sebelum ini ada yang janji tapi tak masuk kawasan pun.

“Biarpun di Dun Chenderiang berdepan persaingan tujuh penjuru, namun mereka ini adalah daripada satu pasukan yang kini berpecah menjadi parti berasingan. Jadi, penduduk boleh menilai peranan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Watikah Latihan NIOSH PTPK, di sini, semalam.

Saravanan turut menasihatkan pengundi supaya tidak sewenang-wenangnya menggunakan perkataan ‘tukar’ hanya sekadar tidak menyukai seseorang calon itu.

“Penukaran perlu berlaku hanya apabila kita  mendapat sesuatu yang lebih baik. Sehingga hari ini tiada manifesto daripada Pakatan Harapan (PH) yang menyatakan kalau Datuk Seri Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri, kaum India akan dapat semuanya.

“Mungkin keadaan akan menjadi lebih buruk. Kita dah ada pengalaman 22 bulan,” katanya.

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button