PRU15: Calon PN Tapah tak berani tawar janji

TAPAH, Nov 10 — Calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Tapah, Datuk Muhammad Yadzan Mohammad akui tidak berani menawarkan sebarang janji kepada warga Tapah kerana bimbang ianya gagal dipenuhi sekiranya berjaya memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) pada 19 November ini.
Menurutnya, dia tidak mahu meletakkan harapan tinggi kepada warga Tapah dan hanya akan merancang gerak kerja sekiranya memenangi PRU15.
“Setakat ini dalam tempoh berkempen antara maklum balas yang diterima penduduk mahukan perubahan, dan kita akan merancang apa yang diperlukan warga Tapah selepas memenangi PRU15.
“Kita tidak mahu janjikan itu ini, kemudian tidak dapat laksanakan. Jadi, kita tunggu sajalah nanti,” katanya ketika ditemui Xklusif, di sini, hari ini.
Muhammad Yadzan yang juga anak jati Tapah turut akui tekanan bersaing di kubu kuat Barisan Nasional (BN) yang dipegang calon BN yang juga penyandangnya, Datuk Seri M Saravanan sejak tiga penggal lalu.
“Ya, saya akui tekanan itu ada kerana Tapah sudah ditadbir oleh pemimpin BN sejak dulu lagi, namun saya mahu bawakan perubahan kepada penduduk di sini.
“Saya mohon penduduk Tapah berikan saya peluang untuk membawa pembaharuan di sini yang mana hanya di rancang selepas memenangi PRU15 nanti,” katanya.
Ditanya mengenai desas-desus pencalonnya adalah untuk memancing undi penduduk Melayu di Tapah, beliau menyerahkan perkara itu kepada pengundi untuk memilih siapa wakil yang mereka rasakan layak untuk mentadbir.
“Dalam berpolitik kita perlu membuat keputusan secara matang, tapi saya percaya penduduk mahukan wakil rakyat yang berasal dari Tapah sendiri.
“Saya kenal Tapah dan apa penduduk di sini perlukan. Ramai anak muda yang saya jumpa mahukan perubahan dan itu yang saya akan lakukan untuk Tapah jika berjaya memenangi PRU15,” katanya.
Selain Saravanan mewakili BN, Pakatan Harapan meletakkan K Saraswathy sebagai calon, manakala PSM diwakili K Bawani dan Pejuang, Mior Nor Haidir Suhaimi serta parti Bebas diwakili M Karthiravan.