Politik

PRU15: Isu kesesakan lalu lintas dan perumahan fokus utama Tapah

TAPAH, Nov 7 — Masalah kesesakan lalu lintas dan  perumahan antara isu yang menjadi keutamaan untuk diselesaikan jika Barisan Nasional (BN) diberi mandat mewakili kawasan ini sekali lagi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti

Calon Parlimen Tapah, Datuk Seri M Saravanan berkata kedua-dua isu berkenaan adalah antara masalah kritikal yang paling kerap diutarakan penduduk Tapah berikutan peningkatan ketara populasi penduduk sejak 15 tahun lalu.

“Sejak 2008 saya menjadi wakil rakyat Tapah, jumlah penduduk hanya sekitar 40,000 orang, namun kini sudah mencecah lebih 60,000 penduduk sekali gus menjadikan Tapah bandar yang semakin pesat.

“Kita sudah memastikan semua masalah utama penduduk seperti pendidikan, infrastruktur dan peluang pekerjaan sudah pun kita selesaikan.

“Namun, antara isu yang menjadi perhatian sekarang adalah kesesakan lalu lintas khususnya pada waktu puncak dan rumah mampu milik,” katanya, di Bangunan UMNO Tapah, di sini, hari ini.

Katanya lagi, sehingga kini hampir kesemua keperluan warga Tapah berjaya ditangani dengan bantuan kerajaan pusat biarpun pada penggal sebelum ini kerajaan negeri yang dipegang pembangkang gagal untuk menyelesaikan isu setempat.

“Penduduk Tapah ada yang berdepan masalah isu perumahan dan geran tanah tapi kerajaan negeri yang lepas gagal menyelesaikannya.

“Justeru jika BN berjaya merampas kembali kedudukan sebagai kerajaan negeri, saya percaya nasib penduduk akan lebih terbela dan semua ini sudah terbukti dengan pembangunan Tapah secara keseluruhannya,” katanya.

Artikel Berkaitan

Back to top button