Politik

PRU15: Jangan undi ikut slogan – Mahdzir Khalid

PENDANG, Nov 18 — Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid mengingatkan pengundi supaya tidak membuat pilihan berdasarkan kepada slogan yang dicanang parti politik semata-mata sebaliknya perlu melihat kepada realiti sebenar parti terbabit.

Katanya, beliau yakin rakyat kini sudah bijak untuk mengumpul dan menilai setiap maklumat diterima mereka terutamanya yang diperolehi di media-media sosial.

“Slogan ini boleh dibuat dan direka tetapi apabila datang kepada pelaksanaan dalam kerajaan nanti, mereka tahulah slogan itu ke mana dan aktiviti sebenarnya macam mana.

“Macam-macam benda sebenarnya boleh berlaku sebab rakyat sudah ada informasi di hujung jari.

“Hampir setiap hari mereka kumpul serta nilaikan maklumat dan disebabkan itu, mereka mampu menilai slogan mana yang benar-benar boleh dipercayai dan dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Kempen Pembukaan Tanah Terbiar dan Tanam  Semula FELCRA Berhad di Felcra Perupok, di sini, hari ini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Perikatan Nasional (PN) dilihat menggunakan slogan ‘Bersih dan Stabil’ bagi memenangi hati pengundi manakala Pakatan Harapan (PH) mengunakan slogan ‘Kita Boleh’.

Barisan Nasional (BN) pula mengangkat tema kestabilan dan kemakmuran dalam manifesto mereka yang merangkumi pelbagai aspek termasuk hubungan antara kaum, ekonomi dan politik tanah air bersandarkan trek rekod mereka memimpin negara sebelum ini.

Mahdzir yang juga penyandang dan calon BN kerusi Parlimen Padang Terap, berkata sokongan rakyat di Kedah terhadap BN dilihat meningkat sekali gus beliau optimis dengan sasaran BN mampu memenangi sekurang-kurangnya 11 kerusi Parlimen di Kedah dalam PRU15.

“Saya nampak sokongan masyarakat Melayu dan juga masyarakat Cina dan India memberi sokongan malah ada yang bagi tahun 2018 dia orang tak undi BN atas sebab-sebab yang kita tahulah pada waktu itu.

“Tapi kali ini ada yang berterus terang dan ada yang nak bagi undi itu kepada BN,” katanya.

Artikel Berkaitan

Back to top button