PRU15: Kekal kubu kuat BN, Tapah milik Saravanan untuk penggal keempat

TAPAH, Nov 19 – – Barisan Nasional (BN) menepati ramalan untuk terus mempertahankan kerusi di Parlimen Tapah selama empat penggal berturut-turut oleh penyandangnya, Datuk Seri M Saravanan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), malam tadi.
Seperti yang sudah ramai jangkakan, komitmen tidak berbelah bagi yang ditunjukkan Saravanan sekaligus menjadi pilihan pengundi untuk Timbalan Presiden MIC itu terus menjadi wakil rakyat mereka di Tapah.
Menteri Sumber Manusia itu menewaskan pencabarnya dari Pakatan Harapan (PH), K Saraswathy; calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Yadzan Mohammad; calon Warisan Muhammad Akbar Sherrif Ali Yasin; dan calon Pejuang, Mior Nor Haidir Suhaimi; serta calon Bebas M Kathiravan dengan majoriti 5,701 undi.
Saravanan memperoleh sebanyak 16,693 undi mengatasi pencabar terdekat iaitu K Saraswathy dari PH yang memperoleh 10,992 manakala calon PN, Yadzan memperoleh 10,669 undi. Calon Warisan, Pejuang dan Bebas pula hilang deposit.
Saravanan memenangi kerusi Tapah pada 2018 dengan majoriti tipis 614 undi dengan 47.1 peratus undi.
Semalam, menerusi amanatnya untuk penduduk Tapah, beliau berazam akan menumpukan dua cabaran utama iaitu penyuraian trafik dan program perumahan mampu milik untuk tempoh lima tahun akan datang, selain pembangunan infrastruktur dan modal insan.