PRU15: Kempen hampir tamat, pembangkang mula terdesak tabur fitnah – Saravanan
TAPAH, Nov 12 — Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan berkata, pembangkang sudah mula mengeluarkan pelbagai fitnah terhadap Barisan Nasional (BN) bagi memperdaya rakyat pada saat-saat akhir kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurut calon BN Parlimen Tapah, Datuk Seri M Saravanan, pada PRU lepas, pembangkang melakukan fitnah ‘blackout’, pengundi Bangladesh dan sebagainya apabila sudah menghampiri kekalahan mereka.
Katanya, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam bertindak membuat satu kenyataan terdesak kononnya anggota tentera sudah mula mengundi sebelum masa dengan mengambil rasuah RM300.
“Ini semua alasan dan sandiwara politik pembangkang. Bukan sekali mereka buat begini. Bila mereka tidak berjaya mendapatkan undi menang pilihan raya, mereka akan buat kerja ini. Masa 2013, mereka kata adanya manipulasi undi kerana ‘blackout’ tapi bila menang pada 2018, mereka semua diam tidak bising.
“Saya akui pada 2018, sebahagian besar penjawat awam malah rakyat memang menyokong Pakatan Harapan (PH), pilihan hati mereka. Tetapi setelah beri pengundi beri mandat dan kuasa, rakyat menderita, menyebar. PH tidak boleh memerintah, hanya BN sahaja, rakyat sendiri akui itu.
“Kali ini penjawat awam memang menyokong BN kembali, saya rasa Anwar Ibrahim sedar yang berkemungkinan besar mereka akan kalah kali ini, jadi mereka sedang sedia dengan alasan baru. Apabila mereka nanti, mereka akan kata dulu sudah kata ada berlakunya perkara ini,” katanya ketika di temui di Kg Orang Asli di Sg Bot di sini.
Semalam, Presiden PKR, Anwar Ibrahim mendakwa kononnya ada anggota tentera di Bera, Pahang, sudah mengundi awal untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan dibayar untuk berbuat demikian.
Terdahulu hari ini Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta Anwar menarik balik tuduhan tersebut dan memohon maaf kepada anggota ATM, kerana menuduh mereka menerima wang dan sebagainya.
Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata beliau tidak menolak kemungkinan apa yang didakwa sebagai undi awal itu adalah undi pos kepada anggota pasukan keselamatan, yang boleh memohon untuk mengundi secara pos, jika mereka tidak dapat hadir semasa hari mengundi awal kerana bertugas.