Politik

PRU15: Keputusan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri muktamad – Shahanim

SUNGAI PETANI, Nov 7 — Keputusan untuk mencalonkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri jika Barisan Nasional (BN) diberikan mandat memerintah negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) telah diterima sebulat suara oleh parti maka ia tidak akan berubah dan perlu dipatuhi semua pemimpin.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Datuk Shahanim Mohamad Yusoff, berkata Majlis Kerja Tertinggi (MKT), UMNO telah bersetuju dengan keputusan dan sebarang isu lain yang dibangkitkan hanyalah sentimen yang cuba dimainkan parti lawan untuk menipu pengundi.

“Semua kepimpinan UMNO telah bermesyuarat, jika pada malam 19 haribulan November ini BN menang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah Perdana Menteri Malaysia.

“Tiada isu lagi, pembangkang dia sengaja mainkan isu ini kerana sudah ketandusan isu untuk memburukan BN kepada rakyat supaya mereka tidak mengundi BN,” katanya.

Beliau yang juga calon BN di Parlimen Sungai Petani berharap pengundi di Sungai Petani dapat memberi peluang kepada kerajaan BN untuk memerintah negara.

“Saya juga berharap pengundi di Parlimen Sungai Petani dapat beri peluang untuk saya membawa pembaharuan kepada rakyat Parlimen.

“Pilihlah calon yang ada ketika rakyat memerlukan dan calon yang berpengalaman luas dalam mentadbir kerajaan bukan calon muda yang kurang pengalaman,” ujarnya.

Parlimen Sungai Petani bakal menyaksikan pertembungan lima penjuru pada PRU15 ini.

Selain Shahanim yang mewakili BN, calon lain yang bertanding ialah, anak kepada penyandang kerusi, Datuk Johari Abdul iaitu Mohamad Taufiq Johari.

Selain itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Alam Sekitar, Perpaduan, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam negeri, Dr. Robert Ling Kui Ee mewakili Perikatan Nasional (PN).

Calon lain ialah Timbalan Presiden Parti Pejuang Tanah Air, Datuk Marzuki Yahya dan calon dari Parti Rakyat Malaysia (PRM), Tan Chow Kang.

Artikel Berkaitan

Back to top button